- PTAR Sarawak
- News
- Hits: 156
.


BICARA ILMU PERKASA KESEDARAN HIV DI KAMPUS PUNCAK ALAM
PUNCAK ALAM, 16 Jun 2025 – Satu sesi Bicara Ilmu: Kesedaran & Cara Pencegahan Penyakit HIV telah dianjurkan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam hari ini sempena Kempen Derma Darah yang berlangsung di kampus tersebut.
Program yang diadakan bermula jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai penyakit HIV, langkah-langkah pencegahannya serta pentingnya memahami isu ini dari sudut kesihatan dan sosial.
Sesi ini menampilkan pegawai perubatan bertauliah sebagai penceramah yang berkongsi maklumat penting berkaitan HIV/AIDS, termasuk cara penularan sebenar, rawatan terkini serta usaha pencegahan yang efektif. Penceramah turut menekankan peranan masyarakat dalam menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap penghidap HIV.
Para peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf universiti menunjukkan minat yang tinggi dan aktif berinteraksi sepanjang sesi berlangsung. Pelbagai persoalan dan pandangan dikongsikan dalam suasana yang terbuka dan ilmiah.
Menurut pihak penganjur, program ini merupakan salah satu inisiatif sokongan kepada kempen derma darah yang berlangsung serentak, di mana kesedaran mengenai kesihatan keseluruhan – termasuk HIV – adalah aspek penting dalam membentuk masyarakat kampus yang prihatin dan celik kesihatan.
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) komited untuk terus menjadi platform kepada penganjuran program berbentuk pendidikan dan kesedaran, seiring usaha menyemai budaya ilmu serta meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan warga UiTM.
Unlocking Knowledge: Information Literacy For Postgraduate
18 Jun 2025, Rabu - Unit Pascasiswazah dengan kerjasama PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah telah mengadakan sesi taklimat Unlocking Knowledge: Information Literacy for Postgraduate secara dalam talian, bermula 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Seramai 12 orang pelajar pascasiswazah yang terdiri daripada pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), UiTM Cawangan Melaka telah menyertai sesi kali ini.
Taklimat disampaikan oleh Cik Hazlin Ibrahim Khan, Timbalan Ketua Pustakawan (M), PTAR UiTM Cawangan Melaka yang menguruskan perkhidmatan literasi maklumat dan sokongan penyelidikan. Fokus utama sesi ini adalah untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap penggunaan sistem PERMATA sebagai platform utama dalam pencarian bahan ilmiah, pengaksesan koleksi perpustakaan, serta perkhidmatan digital, antaranya pangkalan data langganan UiTM seperti Scopus, ScienceDirect, Emerald Insight dan lain-lain. Peserta turut didedahkan kepada strategi pencarian artikel berimpak tinggi untuk menyokong penulisan tesis dan penerbitan ilmiah mereka.
Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan pelajar agar lebih cekap dalam mendapatkan dan mengurus maklumat yang sahih dan relevan, sekali gus menyokong proses pembelajaran, penyelidikan, dan penulisan akademik secara berkesan. Pendedahan kepada kemudahan dan perkhidmatan digital perpustakaan ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti akademik pelajar secara menyeluruh. Sesi ini berlangsung dengan sangat interaktif dan produktif apabila peserta mengajukan pelbagai soalan berkaitan teknik pencarian berkesan, pengurusan sitasi serta pemilihan jurnal yang bersesuaian dengan bidang penyelidikan masing-masing.
Program ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran penyelidikan dalam kalangan pelajar pascasiswazah, malah menyokong aspirasi universiti ke arah penerbitan berimpak tinggi di peringkat global.
18 Jun 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah dengan kerjasama pelajar Bachelor of Library Science (BLIS), UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program BRAIN EXERCISE 3: Exercise Your Brain with Drawing yang bertempat di Ruang Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Sultan Badlishah. Program ini berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengah hari, dan disertai oleh seramai 47 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf UiTM Cawangan Kedah.
Program ini merupakan kesinambungan daripada siri "Brain Exercise" yang bertujuan untuk merangsang daya pemikiran kreatif melalui pendekatan seni visual. Dalam edisi ketiga ini, aktiviti utama adalah melukis sebagai satu bentuk ekspresi diri dan rangsangan minda, yang terbukti dapat membantu peserta menzahirkan emosi serta memperkukuh fokus dan ketenangan dalaman.
Sepanjang sesi, peserta diberi ruang untuk menghasilkan karya seni bebas berpandukan tema yang diberikan. Aktiviti ini bukan sahaja mencungkil bakat terpendam dalam kalangan peserta, malah menjadi medan untuk meningkatkan keyakinan diri dan daya imaginasi. Pelbagai hasil karya yang menarik dan unik telah dipamerkan di akhir program sebagai simbol penghargaan terhadap usaha dan kreativiti setiap peserta.
Inisiatif ini memperlihatkan komitmen Perpustakaan Sultan Badlishah dalam memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat melalui aktiviti interaktif dan santai. Penganjuran program seperti ini mampu memperluas fungsi perpustakaan sebagai pusat sokongan emosi dan intelektual warga kampus, selaras dengan matlamat memupuk kesejahteraan holistik dalam kalangan komuniti universiti.
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Dalam satu ucapan penuh semangat dan wawasan, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, telah merasmikan 19th CONSAL General Conference & Meeting (CONSAL XIX) yang berlangsung di World Trade Centre, Kuala Lumpur. Konferensi ini menghimpunkan para pustakawan dan penggerak ilmu dari seluruh Asia Tenggara, memperkukuh jaringan dan memperkasa peranan perpustakaan dalam era digital serta masyarakat berbudaya ilmu.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menekankan bahawa perpustakaan merupakan tunggak utama dalam pembinaan tamadun. Beliau menyatakan:
"Tunggak ilmu itu, selain dari sekolah dan universiti, ialah perpustakaan dan sejarah tamadun yang besar itu dikaitkan dengan gedung ilmu yang besar."
Ucapan ini memperingatkan kita tentang peranan penting perpustakaan sebagai pemangkin pembangunan intelektual masyarakat sejak zaman silam hingga kini.
YAB Perdana Menteri turut mengangkat martabat pustakawan sebagai penggerak budaya membaca dan pemikiran kritikal:
"Perhimpunan ini tentunya punya tugas yang besar, terutama peringatan kepada pustakawan bahawa ada suatu peranan utama bukan sekadar mempamerkan gedung buku dengan almari kaca, tetapi menjadikannya medan penting memupuk kesedaran dan minat membaca."
"Cabaran pustakawan hari ini adalah menjadi penyampai magis ilmu secara efektif membimbing dan membuka cakrawala kepada pengunjung supaya mencintai buku dan ilmu."
"Pustakawan yang bersemangat akan membantu membina perpustakaan sebagai pusat ilmu yang hidup, bukan sekadar tempat menyimpan buku."
Mengulas keperluan perubahan, beliau menyeru agar perpustakaan bergerak melampaui konsep tradisional:
"Perpustakaan tidak harus dibina sebagai monumen kebanggaan, tetapi tempat di mana ilmu dicari dan digunakan."
"Cabaran besar perpustakaan adalah mengembalikan budaya membaca — bukan hanya membaca dua ayat di media sosial dan membuat kesimpulan."
"Kita memerlukan pustakawan yang boleh menjadikan buku bukan sekadar bahan pameran, tetapi bahan bacaan yang hidup dan menggugah pemikiran."
Ucapan beliau turut merangkumi keperluan evolusi perpustakaan dalam era digital dan teknologi maklumat:
"Libraries must evolve not just spaces for monastic silence, but places alive with books, podcasts, e-books, films, and cultural expression."
"Librarians have a major task not only to disseminate knowledge found in books, but to ensure libraries become vibrant centers of learning."
Ucapan Perdana Menteri di CONSAL XIX bukan sahaja membakar semangat golongan pustakawan, tetapi turut membentuk naratif baharu mengenai peranan strategik perpustakaan dan pustakawan dalam era moden. Dari menjadi penjaga koleksi kepada peneraju pembudayaan ilmu, mesej beliau jelas: perpustakaan perlu hidup, pustakawan perlu bersemangat, dan masyarakat mesti kembali kepada ilmu sebagai asas kemajuan.
Perlis, 18 Jun 2025 – Sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa, Unit Arkib, Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan (PDJH), UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat UiTM Cawangan Perlis bertempat di Aras 3, PDJH 2. Program ini telah berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus, termasuk staf dan pelajar.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan rekod dan arkib dalam sesebuah organisasi serta memupuk budaya pemeliharaan dokumen dan warisan institusi. Antara pengisian menarik sepanjang program ialah Bengkel Asas Penjilidan, Pameran Imbas Kenangan UiTM Cawangan Perlis, Pameran Pengurusan Rekod dan Arkib, serta Pameran Jilid. Turut diadakan ialah Khidmat Nasihat dan Rujukan berkaitan pengurusan rekod dan arkib kepada para pengunjung.
Selain itu, Kuiz Sempena Pameran turut dianjurkan dengan tawaran hadiah wang tunai kepada para pemenang, sekaligus menambah keceriaan dan keterlibatan peserta.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, yang hadir mewakili Rektor UiTM Cawangan Perlis. Kehadiran beliau telah menyerikan majlis dan menunjukkan sokongan pihak pengurusan universiti terhadap inisiatif pemeliharaan rekod serta warisan institusi.
Program ini secara tidak langsung telah berjaya mengangkat peranan Unit Arkib sebagai pusat rujukan dan pemeliharaan sejarah institusi, serta menggalakkan penglibatan komuniti kampus dalam aktiviti berbentuk pendidikan dan kesedaran warisan.


Jabatan Perpustakaan
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia
+603 5544 3793 | Consultation Services
+603 5544 3716 | Customer Services
+603 5544 3727 | Corporate Unit
korporatptar@uitm.edu.my