- Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan
- News
- Hits: 266
Jom Mahir Jawi 2025 Perkasakan Warisan Tulisan Jawi di UiTM Cawangan Perlis


BATU PAHAT, 29 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah mengadakan satu lawatan kerja ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam memperkasakan budaya ilmu dan literasi maklumat di peringkat sekolah.
Delegasi PTDI diketuai oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Mawar Noor binti Abdullah, bersama Encik Ahmad Akmal bin Mohd Idris (Pustakawan Kanan), Encik Muhamad Faizul Azwan bin Jalil, Puan Nur Izzatul Izwani binti Ahmad (Pembantu Pustakawan) serta Aleeya binti Amri (pelajar latihan industri).
Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program yang menyokong pembangunan sahsiah dan kecemerlangan akademik pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah Batu Pahat. Antara modul bimbingan yang ditawarkan oleh PTDI termasuk Teknik Bacaan Pantas, Literasi Maklumat, Modul Guru Pusat Media (GPM), Modul Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PPSS), Pemeliharaan dan Pemuliharaan Rekod, Ice-Breaking serta Pengurusan Rekod Penting.
Pihak PPD Batu Pahat memberikan maklum balas yang amat positif dan bersedia untuk meneroka kerjasama lebih lanjut. Antara cadangan yang dipersetujui termasuk penubuhan jawatankuasa kecil bagi menyelaras pelaksanaan program secara berperingkat berdasarkan keperluan sekolah-sekolah terlibat.
Lawatan ini menjadi titik tolak penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi akademik dan komuniti pendidikan daerah. PTDI yakin kolaborasi ini bukan sahaja dapat memperluas akses kepada sumber ilmu dan kemahiran literasi maklumat, tetapi juga menyumbang ke arah pembentukan generasi berilmu, berdaya saing dan mencintai pembelajaran sepanjang hayat.
Hebahan media sosial : media sosial
Segamat, 28 Julai 2025 - Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan selamat datang kepada para pelajar latihan industri yang telah memulakan penempatan mereka di perpustakaan ini. Kehadiran pelajar dari pelbagai program pengajian dalam bidang kepustakawanan amat dialu-alukan dan diharapkan dapat menyumbang kepada perkongsian ilmu serta pengalaman sepanjang tempoh latihan.
Tiga orang pelajar yang menjalani latihan industri di PTDI ialah:
Nurul Izzati binti Mohamad Idris
Diploma Perpustakaan Informatik, UiTM Cawangan Kedah, Kampus Merbok
Nur Farah Syahira binti Hassan
Diploma Pengurusan Maklumat, UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang
Aleeya binti Amri
Diploma Pengurusan Perpustakaan, UiTM Cawangan Kedah, Kampus Merbok
Sepanjang tempoh latihan, para pelajar akan didedahkan dengan pelbagai aspek pengurusan perpustakaan termasuk pengurusan koleksi, perkhidmatan pelanggan, literasi maklumat dan pelaksanaan aktiviti promosi. Selain itu, mereka juga berpeluang terlibat secara langsung dalam program serta inisiatif yang dijalankan oleh PTDI, sekali gus meningkatkan kemahiran insaniah dan kecekapan profesional.
PTDI berharap agar pengalaman latihan industri ini menjadi satu platform pembelajaran yang bermakna serta mampu mempersiapkan para pelajar sebagai profesional dalam bidang maklumat dan kepustakawanan pada masa hadapan.
Selamat menjalani latihan industri dan semoga berjaya dalam setiap langkah yang diambil.
Hebahan media sosial : media sosial
Segamat, 25 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, berbesar hati menerima kunjungan istimewa daripada Prof. Ts. Dr. Hajah Nor Hayati Saad, Penolong Naib Canselor (Strategi) UiTM, bersama delegasi dari Pejabat Transformasi Universiti.
Turut hadir dalam sesi kunjungan ini ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Cawangan Johor yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Saunah Zainon, yang menjalankan fungsi sebagai Rektor.
Lawatan yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi ini telah melibatkan tinjauan ke beberapa ruang utama PTDI seperti Ruang LCE, Azka-Corner dan CGS Trading Room. Delegasi telah diberikan penerangan mengenai pelbagai kemudahan serta inisiatif perpustakaan dalam memperkasa perkhidmatan maklumat dan sokongan akademik kepada warga kampus.
Antara tumpuan utama sesi lawatan ialah penerangan berkenaan inisiatif penambahbaikan sistem keselamatan di pintu masuk utama dan bilik bacaan, yang telah ditransformasikan daripada sistem kunci manual kepada sistem kunci automatik moden. Penambahbaikan ini mencerminkan usaha berterusan PTDI dalam menyokong aspirasi transformasi digital UiTM, di samping memperkukuh keselamatan aset dan keselesaan pengguna perpustakaan.
Secara keseluruhannya, lawatan ini bukan sahaja mempereratkan hubungan strategik antara PTDI dan pengurusan universiti, malah turut memperkukuhkan komitmen perpustakaan sebagai nadi akademik, inovasi, dan penyokong utama aspirasi strategik universiti.
Hebahan media sosial : media sosial
Segamat, 23 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat telah menganjurkan satu Program Khidmat Komuniti Sekolah yang memberi fokus kepada pengenalan teknik bacaan pantas dan pencarian maklumat secara efektif kepada pelajar sekolah menengah.
Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Arshad, Segamat dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang ini berjaya menarik penyertaan seramai 118 orang pelajar tingkatan empat.
Inisiatif ini dilaksanakan sebagai usaha menyahut seruan Ketua Pustakawan UiTM dalam memperluas peranan perpustakaan kepada pembangunan komuniti melalui peningkatan literasi maklumat. Teknik bacaan pantas dan kemahiran pencarian maklumat merupakan antara kemahiran penting dalam pembelajaran abad ke-21, sekali gus mampu membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik dan pencapaian kokurikulum mereka.
Pihak PTDI percaya bahawa pendedahan awal kepada teknik sebegini bukan sahaja membantu dalam pembelajaran, malah mampu membina keyakinan dan motivasi dalam kalangan pelajar untuk terus maju. Program ini turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pihak sekolah, guru-guru dan para pelajar.
Seiring dengan maklum balas positif yang diterima, PTDI menyasarkan agar program seperti ini dapat dijadikan sebagai program tahunan bagi memberi manfaat berterusan kepada lebih ramai pelajar di kawasan Segamat dan sekitarnya.
Hebahan media sosial : media sosial
SEGAMAT, 21 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat telah berjaya menganjurkan Program Khidmat Komuniti Sekolah: Pengenalan Bacaan Pantas dan Teknik Pencarian Maklumat menggunakan ChatGPT yang bertempat di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah (SEMAK), Segamat.
Program yang berlangsung pada hari Isnin, dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang ini telah disertai oleh seramai 116 orang pelajar tingkatan satu dan tiga. Pelaksanaannya bertujuan untuk memperkenalkan kepada pelajar kaedah membaca pantas serta teknik pencarian maklumat secara berkesan menggunakan teknologi terkini seperti ChatGPT, selaras dengan saranan Ketua Pustakawan UiTM dalam memperluas impak ilmu pengetahuan kepada komuniti.
Selain meningkatkan kemahiran literasi maklumat dalam kalangan pelajar, program ini juga secara langsung menyumbang kepada usaha mereka untuk memperoleh markah kokurikulum yang lebih baik. Pendekatan interaktif dan hands-on yang digunakan dalam sesi tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta dan guru pengiring.
Pihak penganjur yakin bahawa program ini memberikan impak positif dan wajar dijadikan sebagai salah satu inisiatif tahunan dalam usaha memperkasakan pelajar sekolah menengah, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia digital dan pembelajaran abad ke-21.
Hebahan media sosial : media sosial
SEGAMAT, 18 Julai 2025 – Majlis Penyerahan Mock Cheque dan Perasmian Etiqa-Azka Corner telah berlangsung dengan penuh meriah di ruang Library Community Engagement, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat. Majlis yang dianjurkan oleh Etiqa Family Takaful Berhad ini merupakan simbolik jalinan kolaborasi antara pihak industri dan institusi pendidikan dalam menyemai nilai kebajikan dan kesejahteraan warga kampus.
Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dan diserikan dengan sesi perkongsian khas oleh wakil Etiqa bermula jam 9.00 pagi. Penceramah pertama, Encik Mohd Zaidi bin Mohamad Saad, Manager, Corporate Agency, telah menyampaikan penerangan mengenai pelan perlindungan takaful yang direka khas untuk golongan B40 dan pelajar. Beliau menekankan pentingnya perlindungan kewangan dalam mendepani cabaran kehidupan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Sesi diteruskan oleh Puan Azren Haslina binti Ahmad, Head of Business Development Agency, yang berkongsi mengenai peranan Etiqa dalam mengarusperdanakan nilai takaful serta inisiatif pendidikan yang menyokong pembangunan holistik pelajar.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Prof. Madya Dr. Saunah binti Zainon yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Johor. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha Etiqa yang proaktif dalam menyokong kebajikan pelajar. Seterusnya, Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Tuan Haji Azizi bin Hj. Jantan turut menyampaikan ucapan, menyatakan bahawa perpustakaan bukan sekadar simbol kebanggaan institusi, tetapi ruang penting untuk pencarian dan penyebaran ilmu. Beliau turut memetik kata-kata inspiratif, "Perpustakaan tidak harus dibina sebagai monumen kebanggaan tetapi tempat di mana ilmu dicari dan digunakan."
Majlis kemuncak menyaksikan ucapan dan gimik perasmian Etiqa-Azka Corner oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Tuan Haji Zafri bin Ab. Halim. Beliau turut menyampaikan amanat kepada pelajar, "Untuk menjadi orang yang berjaya, jangan takut—haruslah berani," yang menjadi inspirasi kepada semua yang hadir.
Sejak tahun 2023, Etiqa Family Takaful Berhad telah menyalurkan sumbangan wakalah zakat korporat berjumlah RM600,000.00 kepada pelajar asnaf fakir, miskin dan fisabilillah di UiTM Kampus Segamat dan Pasir Gudang. Majlis kali ini turut disertai oleh sebilangan pelajar asnaf yang merupakan penerima manfaat, sekali gus memperlihatkan impak langsung terhadap komuniti kampus.
Majlis berakhir dengan sesi bergambar kenangan dan jamuan ringan, menandakan kejayaan satu lagi usaha murni dalam menjalin kerjasama strategik antara pihak perpustakaan dan industri demi kebajikan serta pembangunan pendidikan pelajar di UiTM.
Baca artikel penuh : media sosial
31 Julai 2025 | 06 Safar 1447H (Khamis)
JELAJAH ILMU: WE REACH YOU @ JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT, HASA
Sebagai sebahagian daripada inisiatif pembudayaan ilmu, Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak (PPTAR) telah melaksanakan program Jelajah Ilmu: We Reach You yang berlangsung di Jabatan Komunikasi Korporat, Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA).
Program ini memberi peluang kepada staf jabatan untuk lebih mengenali pelbagai perkhidmatan dan sumber digital yang ditawarkan oleh perpustakaan, khususnya melalui Portal PERMATA – platform sehenti untuk pencarian ilmu dan bahan bacaan digital.
🔍 Antara pengisian utama yang diketengahkan:
✅ Pengenalan kepada Portal PERMATA
✅ Galakan pendaftaran MyReading – untuk rekod bahan bacaan & statistik peribadi sasaran 24 buku setahun
✅ Promosi koleksi e-Book yang boleh diakses 24/7
✅ Pinjaman buku bertema pilihan khas
✅ Kod QR akses pantas ke senarai judul buku terkini di PTAR HASA
✅ Demonstrasi penggunaan aplikasi PERMATA di peranti mudah alih
Melalui program ini, kami bukan sahaja menyampaikan maklumat — malah mengajak semua warga hospital untuk menjadikan membaca sebagai gaya hidup harian, tidak kira masa atau tempat.
Terima kasih kepada semua staf Jabatan Komunikasi Korporat yang memberikan kerjasama positif sepanjang program berlangsung!
Teruskan bersama kami dalam menjelajah ilmu — mungkin jabatan anda yang seterusnya! 😉
Segamat, 17 Julai - Sempena Lawatan Santai Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan ke Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, satu majlis penghargaan telah diadakan bagi meraikan warga perpustakaan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan komitmen luar biasa dalam operasi serta program perpustakaan.
Empat orang warga PTDI telah menerima anugerah khas sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan masing-masing:
🏆 Anugerah Bakti
En. Roslan Mohd Nor
Dianugerahkan atas sokongan berterusan beliau dalam melancarkan pelaksanaan aktiviti pengurusan perpustakaan.
🏆 Anugerah Prihatin Teknologi
En. Jamalaludin bin Daseman
Menerima anugerah atas sumbangan bermakna dalam aspek sokongan teknologi dan sistem AV yang membantu kelancaran pelbagai program perpustakaan.
🏆 Anugerah Teman Setia Program
En. Faizul Azwan Jalil
Dihargai atas kecekapan dan keikhlasan beliau dalam membantu pelaksanaan program, terutamanya di belakang tabir.
🏆 Anugerah Pembantu Pustakawan Harapan
En. Safwan Kamirul Ain
Menerima pengiktirafan atas komitmen tinggi dan dedikasi beliau dalam melaksanakan tugasan perpustakaan dengan penuh tanggungjawab.
Majlis penghargaan ini bukan sahaja menjadi simbol penghormatan terhadap usaha dan pengorbanan mereka, malah diharapkan dapat menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga PTDI untuk terus cemerlang dan memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan rujukan unggul.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada semua untuk terus melangkah lebih jauh demi kecemerlangan institusi dan masyarakat.
Hebahan media sosial : media sosial

Jabatan Perpustakaan
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia
+603 5544 3793 | Consultation Services
+603 5544 3716 | Customer Services
+603 5544 3727 | Corporate Unit
korporatptar@uitm.edu.my