Pasir Gudang, 27 Oktober 2025 – Program Resensi Buku @ PTDI kali ini menampilkan karya inspirasi berjudul “Kisah Mutawif Rare”, yang membawa penonton menyelami pengalaman istimewa seorang mutawif dalam perjalanan kehidupan beliau. Program yang berlangsung pada 27 Oktober 2025 ini merupakan inisiatif oleh Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasa budaya membaca dan berkongsi ilmu melalui sesi diskusi ilmiah secara dalam talian.
Sesi resensi ini menampilkan Ustaz Shauqi Hasan sebagai penceramah jemputan dan penulis buku, manakala Cik Fatin Nur Nabila Zamzuri bertindak sebagai moderator. Perbincangan berlangsung dalam suasana santai namun penuh pengisian, di mana Ustaz Shauqi berkongsi pelbagai pengalaman menarik sepanjang menjadi mutawif — termasuk cabaran, keindahan serta pengajaran yang tersirat di sebalik perjalanan spiritual tersebut.
Menurut beliau, Kisah Mutawif Rare bukan sekadar catatan pengalaman, tetapi juga naskhah yang mengajak pembaca untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui refleksi perjalanan ibadah dan nilai kemanusiaan. Buku ini turut mengetengahkan keunikan kisah benar yang mampu memberi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih memahami erti pengorbanan, kesabaran, dan keikhlasan dalam menjalani kehidupan seharian.
