28 Oktober 2025 | 06 Jamadilawal 1447H
Sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan pengurusan rekod di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak (PPTAR HASA) telah menyusun serta menganjurkan Sesi Libat Urus Pengurusan Rekod & Arkib HASA.
Sesi ini telah diadakan pada 28 Oktober 2025 (Selasa) bermula jam 2.30 petang sehingga jam 4.45 petang, bertempat di Makmal Komputer, Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak (PPTAR HASA). Penerangan dalam sesi ini telah disampaikan oleh Puan Noor Azlin binti Abdullah, Ketua Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak,HASA dan dibantu oleh Puan Maizatul Akmal Sidik, Pembantu Tadbir (Perpustakaan). Sesi ini telah diisi dengan penerangan berkaitan pengenalan rekod dan arkib serta memberi pendedahan mengenai pelaksanaan dan tanggungjawab berkaitan lantikan Pegawai Rekod Jabatan dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan. Ini adalah sebagai satu langkah ke arah memperkukuh pengurusan rekod yang sistematik dan berintegriti di peringkat jabatan.
Sesi libat urus ini melibatkan beberapa jabatan di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), iaitu:
1. Pejabat Timbalan Pengarah Pengurusan
2. Pejabat Timbalan Pengarah Klinikal (Perubatan)
3. Pejabat Timbalan Pengarah Klinikal (Pembedahan)
4. Pejabat Timbalan Pengarah Profesional dan Operasi
5. Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak
6. Jabatan Infostruktur
7. Jabatan Penyelidikan, Jaringan Industri dan Inovasi
Penglibatan pelbagai jabatan ini mencerminkan komitmen menyeluruh Hospital Al-Sultan Abdullah dalam memastikan pengurusan rekod dan fail dilaksanakan secara sistematik, telus dan selaras dengan dasar serta amalan terbaik universiti.
Dengan pelaksanaan sesi libat urus ini, diharapkan setiap jabatan dapat melaksanakan pengurusan rekod yang lebih teratur dan mampan, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi serta penyampaian perkhidmatan berkualiti di Hospital Al-Sultan Abdullah.
Sesi Libat Urus Pengurusan Rekod & Arkib bagi jabatan pentadbiran lain di Hospital Al-Sultan Abdullah dijadualkan pada 04 November 2025.
Semoga usaha ini dapat membantu menghasilkan budaya pengurusan rekod yang lebih baik.
