- Perpustakaan Sultan Badlishah
- News
- Hits: 62
Sesi Libat Urus Perkhidmatan Perpustakaan Sultan Badlishah Bersama Fakulti Sains Komputer Dan Matematik
Sungai Petani, 2 Mac 2026 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Sesi Libat Urus Perkhidmatan Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) bersama Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM).
Kerjasama baik dari pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) telah menyumbang kepada kelancaran perkongsian, penyampaian maklumat dan perbincangan yang produktif bermula dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Aras 2, Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah. Sesi ini dikendalikan dengan jayanya oleh, Puan Atirah Ruslan, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP) Unit Sumber Rujukan Universiti dan Unit Arkib Universiti dan Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan Unit Perkhidmatan Perpustakaan. Taklimat turut disampaikan oleh En Mat Asri Baharom, Pembantu Pustakawan Kanan Unit Sumber Rujukan Universiti.
Kelancaran sesi ini dikukuhkan dengan kehadiran dan penglibatan tiga puluh empat (34) orang kakitangan akademik yang terdiri daripada Ketua Pusat Pengajian (KPP), Dr. Ida Normaya Mohd Nasir, Koordinator Program dan pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM). Sesi selama dua jam ini merangkumi penerangan dan perkongsian berkaitan perkhidmatan perpustakaan seperti tatacara pengaksesan dan penggunaan sumber rujukan universiti yang boleh diperoleh melalui sistem PERMATA, serta memperkaya koleksi MyReading di PERMATA – MyAccount masing-masing, tatacara pencarian maklumat, konsultasi penyelidikan dan sistem tempahan kelas literasi maklumat.
Perkongsian turut disampaikan oleh Unit Sumber Rujukan Universiti (USRU) iaitu berkaitan cadangan bahan bercetak fakulti, pencapaian pemilikan silibus FSKM melalui Reading List Holding Portal dan penggunaan borang baharu bagi penyerahan bahan harta intelek.
Menerusi kejayaan pelaksanaan Sesi Libat Urus ini, pihak Perpustakaan Sultan Badlishah telah memperluaskan pengetahuan perkhidmatan perpustakaan kepada warga akademik UiTM dan seterusnya membuka ruang kerjasama strategik ke arah pembentukan adiwangsa, selaras dengan usaha menyumbang kepada pencapaian penunjuk prestasi jabatan. Selain itu, ianya dilihat berupaya menambah baik proses kerja berkaitan agar lebih sejajar dengan keperluan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

