Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM ke-3 menggantikan Tan Sri Nik Mohamed Yaacob yang tamat tempoh pada 31 Disember 2004. Beliau mula berkhidmat pada 1 Januari 2005 sehingga 30 Jun 2015. Beliau dilahirkan pada 28 April 1940 di Taiping, Perak. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Stanford, California, Amerika Syarikat dan Doktor Falsafah dalam bidang Sosiologi dan Pendidikan dari University of California, Berkeley, California, Amerika Syarikat. Beliau mengambil kursus Pengurusan Perniagaan di bawah Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Boston, Amerika Syarikat.
Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik, bergerak sehingga tahap utama dan akhirnya memegang pelbagai jawatan di Kementerian Pendidikan, Malaysia. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Guthrie Property Development Holding Berhad, sebuah anak syarikat Kumpulan Guthrie Berhad dan juga sebagai Pengerusi Kumpulan Guthrie Bhd. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Sime Darby Automotif dan Sime Darby Healthcare Sdn. Bhd. sejak 1 Februari 2011. Pada 16 Januari 2007 beliau mendapat Anugerah Tokoh Kepimpinan (Ikon Kepimpinan) - Anugerah Hari Guru Kebangsaan. Kini beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan Ahli Dewan Negara Perak bermula 10 April 2015.
Semasa tempoh pelantikan beliau, UiTM telah menyambut Perayaan Jubli Emas Sempena Ulang Tahun ke - 50. Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan seperti Karnival 50 Tahun UiTM yang dirasmikan pada 10 November 2006 oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Rujukan
1. Informasi UiTM Bil. 7(10 November 2006)
2. Bernama Library & Infolink Service