Tan Sri Nik Mohamed Yaacob dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM ke-2 menggantikan Tan Sri Dato' Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad yang tamat tempoh pada 16 Oktober 2002. Beliau berkhidmat bermula dari 1 Januari 2003 sehingga 31 Disember 2004. Beliau dilahirkan pada tahun 1949 di Kota Bahru, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sultan Ismail Putra School, Kota Bharu Kelantan dan Malay College Kuala Kangsar. Beliau adalah pemegang Sarjana Muda Kejuruteraan, Monash University dan MBA dari Institut Pengurusan Asia, Manila, Philipina. Beliau juga telah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard University, Amerika Syarikat.
Beliau memulakan kerjaya dengan Dunlop Malaysian Industries Bhd (DMIB) dan beliau pernah menjadi Pengarah Operasi Sime Darby Berhad sebelum dilantik sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan pada 01 Julai 1993 sehingga beliau bersara pada bulan Jun 2004. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Pusat Sains Negara, Ahli Majlis Asia Timur INSEAD dan Pengurus Besar Century Batteries (M) Sdn. Bhd. Beliau telah terpilih mewakili Malaysia dalam Majlis Penasihat APEC dan Forum Perniagaan Asia-Eropah. Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kepimpinan beliau dalam pengurusan keusahawanan dan kepimpinan sektor korporat Malaysia, Tan Sri Nik Mohamed Yaacob telah dianugerahkan “Malaysia’s CEO of the year” pada tahun 1995.
Tan Sri Nik Mohamed menerima anugerah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Kerajaan Persekutuan pada 06 Jun 1997. Beliau kini merupakan Pengerusi Kencana Petroleum Berhad.
Rujukan
1. Informasi UiTM Bil. 8 Disember 2002 – Mac 2003
2. Bernama Library & Infolink Service
3. Mesyuarat Lembaga Pengarah ke-54