
Perintis bidang Kriminologi Kewangan Islam
Penerima gelaran Profesor Emeritus UiTM merupakan penghormatan oleh universiti kepada tokoh-tokoh ternama dan terkenal dalam dan luar negara atas jasa serta sumbangan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing.
Biografi Penerima Gelaran Profesor Emeritus Dr. Normah Haji Omar
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Tuanku Canselor UiTM menganugerahkan penganugerahan kurnia gelaran Profesor Emeritus kepada Dr Normah Haji Omar atas sumbangan dan kepakaran beliau dalam bidang Kriminologi Kewangan Islam. Beliau telah dinobatkan sebagai Wanita pertama paling berpengaruh dalam bidang Kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory pada tahun 2020.

Bekas Pengarah dan Pengasas lnstitut Penyelidikan Perakaunan (ARI) Universiti Teknologi MARA ini juga memegang beberapa jawatan penting di peringkat nasional, Profesor Dr Normah juga telah berjaya menaikkan taraf kedudukan usahawan wanita dengan membangunkan produk-produk baharu Kewangan Islam. Suatu sumbangan yang besar nilainya kepada UiTM dan dunia.

Dr. Normah Haji Omar merupakan anak kelahiran Ulu Langat, Selangor. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ulu Langat sebelum melanjutkan pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Convent di Kajang. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam kursus Diploma Perakaunan di Institut Teknologi MARA (ITM). Disebabkan prestasi akademik yang memberangsangkan di peringkat diploma, Dr. Normah telah dipilih dan dianugerahkan Skim Pensyarah Muda dengan tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang perakaunan di Amerika Syarikat. Beliau menamatkan pengajian Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan) di University of Iowa, Amerika Syarikat pada tahun 1980 dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan) di University of Southern Illinois, Amerika Syarikat pada tahun 1982.
Pada 3 Januari 1983, Dr. Normah memulakan kerjaya akademiknya di UiTM. Pada tahun 1989, beliau telah dianugerahkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian peringkat kedoktoran dan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan di Manchester Metropolitan University pada Mei 1993. Dengan keupayaan kesarjanaan yang dimiliki, Dr. Normah telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya pada tahun 2000 dan Profesor pada tahun 2006. Secara keseluruhannya, beliau telah berkhidmat dengan UiTM selama 37 tahun.
Dr. Normah merupakan individu penting yang memainkan peranan dalam penubuhan Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) pada tahun 2006. ARI telah berkembang daripada sebuah Special Interest Group (SIG) berasaskan fakulti di UiTM kepada sebuah pusat yang diiktiraf di peringkat global. Pada 1 April 2010, ARI telah dianugerahkan status Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. ARI merupakan satu-satunya pusat kecemerlangan berasaskan sains sosial yang diberi status HICoE, bersama lima institut penyelidikan berasaskan sains lain daripada universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia. Dengan pembiayaan awal sebanyak RM3 juta, ARI ditugaskan untuk membina bidang penyelidikan baharu iaitu Kriminologi Kewangan Islam.
Dengan tujuan untuk mengembangkan kewangan Islam sebagai agen pertumbuhan ekonomi, ARI telah meningkatkan kajian dalam bidang kriminologi kewangan, satu usaha penting untuk melindungi industri kewangan Islam daripada ketirisan kewangan seperti penipuan, rasuah dan kelakuan tidak beretika yang lain. Di bawah kepimpinan Dr. Normah, ARI telah menjalin banyak kerjasama antarabangsa dengan cendekiawan terkenal dari Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, China, Singapura, India, United Kingdom, Bangladesh, Filipina, Indonesia, Belanda, Afrika Selatan, Austria, New Zealand, Arab Saudi, Qatar, UAE, Maghribi, Turkiye, Tunisia, Thailand, Vietnam, Bulgaria, Perancis, Poland, Rusia dan Portugal. Hari ini, Kriminologi Kewangan Islam telah diiktiraf secara global sebagai korpus pengetahuan baharu untuk industri kewangan Islam.
Korpus ilmu baharu ini telah membawa ARI dan UiTM ke tahap yang lebih tinggi di arena antarabangsa. ARI telah menerima banyak hadiah dan pengiktirafan antarabangsa seperti Anugerah Penyelidikan & Penggunaan Terbaik dalam Kriminologi Kewangan Islam; Anugerah Pendidikan Terbaik dalam Kriminologi Kewangan Islam; Anugerah Penasihat Terbaik Kriminologi Kewangan Islam (IFC Awards, UK); Anugerah Pendidik Risiko Terbaik (Anugerah ASEAN); dan Anugerah Tadbir Urus Global (EdBiz, UK). Beliau juga memainkan peranan penting dalam penubuhan empat program pascasiswazah (dua sarjana dan dua program doktor falsafah) di ARI dalam bidang Kewangan Islam dan Muamalat serta Kriminologi Kewangan, yang bertujuan menyokong penyelidikan dalam bidang Kriminologi Kewangan Islam. Program tersebut telah menarik ramai pelajar antarabangsa dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India dan Maldives.
Kepakaran dan minat penyelidikan Dr. Normah adalah dalam bidang integriti korporat, tadbir urus dan kriminologi kewangan Islam. Sebagai penyokong penyelidikan translasi gunaan, beliau telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor korporat di Malaysia. Antaranya ialah penyelidikan berkaitan penarafan tadbir urus korporat dengan Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG); pembangunan The National Award for the Management Accounting (NAfMA) dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Pengurusan Akauntan Bertauliah (CIMA); pembangunan sistem penilaian integriti korporat dengan Institut Integriti Malaysia; penyelidikan mengenai pematuhan dan keberkesanan pencegahan pengubahan wang haram dengan Persatuan Bank Malaysia dan Kumpulan Jaringan Pegawai Pematuhan (CONG); serta penilaian organisasi bukan berasaskan keuntungan untuk pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Sebagai mengiktiraf kepakaran penyelidikannya, Dr. Normah telah menerima pelbagai pembiayaan penyelidikan dari agensi antarabangsa di Jepun, Turkiye, Australia, Filipina, Tunisia, Indonesia dan Bulgaria. Selain penglibatan beliau dalam kumpulan penyelidik antarabangsa, Dr. Normah sering dijemput menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa di Australia, Jepun, Taiwan, China, Indonesia, Amerika Syarikat, Filipina, India, Bangladesh, Qatar, Thailand, New Zealand, UAE, Pakistan, Afrika Selatan dan Singapura.
Sebagai seorang ahli akademik, beliau telah menulis banyak artikel dalam jurnal antarabangsa terkemuka dan mengarang buku mengenai tadbir urus korporat, integriti korporat serta kriminologi kewangan Islam. Beliau pernah dilantik sebagai profesor pelawat di beberapa universiti antaranya Universitas Merdeka Malang (Indonesia), Institute of Public Enterprise (India), University of Pretoria (Afrika Selatan), Tshwane Institute of Technology (Afrika Selatan), Durban Institute of Technology (Afrika Selatan), University of Melbourne (Australia), University of Bolton (UK) dan University of Tasmania (Australia).
Atas kapasiti peribadi, Dr. Normah telah menerima pelbagai anugerah antarabangsa antaranya tempat pertama Wanita Paling Berpengaruh dalam Perniagaan dan Kewangan Islam 2020 dalam acara Womani Awards oleh Cambridge IFA, UK. Pada tahun 2019, beliau berada di kedudukan kedua, manakala pada tahun 2018 beliau berada dalam kelompok sepuluh teratas bagi kategori yang sama. Beliau juga pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Berprestij 2019 di Global Islamic Finance Awards (GIFA), Anugerah Khas GIFA untuk Advokasi Kriminologi Kewangan Islam 2017 oleh Edbiz Consulting, UK, dan Anugerah ACQ Gamechanger 2017 oleh ACQ London, UK.
Dr. Normah merupakan ahli kepada dua badan profesional perakaunan terkenal di dunia iaitu Certified Practicing Accountants (CPA Australia) dan Certified Management Accountant (CMA Australia). Kini, beliau telah dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen bagi mengawal selia hal ehwal korporat dan perniagaan di Malaysia. Beliau juga dilantik sebagai ahli lembaga pengarah UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB).
Dengan pencapaian yang cemerlang dan luar biasa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Tuanku Canselor UiTM menganugerahkan penganugerahan kurnia gelaran Profesor Emeritus kepada Dr Normah Haji Omar di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke 94 pada 10 September 2022.
Sumber :
- Buku Istiadat Konvokesyen Ke-94 Universiti Teknologi MARA (UiTM)
- 21,851 Graduan UiTM Terima Anugerah Pada Istiadat Konvokesyen Ke-94. UiTM News Hub (https://news.uitm.edu.my/2022/09/21851-graduan-uitm-terima-anugerah-pada-istiadat-konvokesyen-ke-94/)