Kenangan J.O. ITM/UiTM Heritage Walk, program istimewa bersempena sambutan Hari Alumni UiTM pada 19 Disember 2023

Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mencipta satu lagi detik bermakna apabila berjaya menganjurkan J.O. ITM/UiTM Heritage Walk 2023, sebuah program istimewa bersempena sambutan Hari Alumni UiTM pada 19 Disember 2023. Membawa tema “Reliving the Heritage of Institut Teknologi MARA”, program ini dianjurkan oleh ICAN (Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) UiTM sebagai usaha menghidupkan semula nostalgia kampus bersejarah Institut Teknologi MARA di Jalan Othman, Petaling Jaya pada 

Acara berjalan kaki ini bukan sahaja menghimpunkan alumni, bekas pensyarah dan staf, tetapi turut bertujuan mengingatkan masyarakat tentang kewujudan serta peranan penting kampus ITM Jalan Othman yang pernah menjadi hab pendidikan tersohor pada era 1960-an dan 1970-an. “JO ITM Heritage Walk 2023” diadakan untuk mengenang individu-individu yang menyumbang kepada pembangunan kampus tersebut, termasuk kakitangan dan kumpulan pelajar perintis.

Seramai 70 orang peserta terdiri daripada alumni, bekas pensyarah dan staf ITM/UiTM Jalan Othman telah mengikuti perjalanan sejauh kira-kira dua kilometer. Laluan program ini merangkumi kawasan ikonik seperti Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz dan Taman Selera Jalan Othman, dan menjadi wadah untuk mengimbau semula kenangan laluan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan kampus.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor. Turut menghadiri program ini ialah mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Timbalan Naib Canselor Industri, Komuniti, Alumni dan Rangkaian Keusahawanan (ICAEN), Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Seni Kreatif Prof. Dr. Zaini Abdullah, serta alumni UiTM En. Kasmuri Sukardi, Pengarah KaZ Corporation Sdn. Bhd., dan Dr. Junid Abu Saham, antara pensyarah paling lama berkhidmat di kampus tersebut.

 

Pelajar kumpulan perintis 1965–1977 ITM Jalan Othman, melihat pameran kenangan yang dibawakan khas oleh Bahagian Arkib Universiti dalam suasana penuh nostalgia dan keakraban.
Pameran evolusi jubah konvokesyen ITM-UiTM dan kelihatan plak perasmian Dewan Latehan RIDA di dinding lobi kampus Jalan Othman
Enam orang alumni pioneer UiTM yang bergraduasi pada Konvokesyen Pertama Dewan Latehan RIDA pada 19 Disember 1964

Acara turut diserikan dengan kehadiran enam alumni pioneer UiTM yang bergraduasi pada Konvokesyen Pertama Dewan Latehan RIDA pada 19 Disember 1964. Rombongan yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Sri Mohamed Abid, 81 tahun, ini memberi nilai sentimental yang tinggi kepada program tersebut. 

Pameran Tun Arshad Ayub, tokoh peneraju Maktab RIDA dan ITM.

Selain Heritage Walk, sambutan Hari Alumni UiTM turut menampilkan UiTM Alumni Fun Run yang berlangsung serentak di UiTM Shah Alam dan 12 kampus di seluruh negara pada 28 Oktober serta Alumni Homecoming 2023 pada 16 Disember untuk meraikan alumni yang terus menyumbang kepada universiti, komuniti dan negara.

Sumber : Alumni Meriahkan J.O. ITM / UiTM Heritage Walk 2023

powered by social2s