Program Kolej Bersekutu ITM telah diperkenalkan pada tahun 1992 dengan matlamat utama menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar Bumiputera yang tidak menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti awam. Inisiatif ini turut bertujuan menyokong pertumbuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia agar dapat melaksanakan program akademik secara berdaya saing dan berdikari. Melalui program ini, IPTS yang memenuhi syarat—merangkumi kecukupan staf akademik, kemudahan fizikal dan sumber pembelajaran, dibenarkan menawarkan program pengajian sepenuh masa peringkat pra-siswazah UiTM. Dengan peluang tersebut, IPTS berupaya meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar sambil memastikan kualiti akademik kekal setara dengan standard UiTM.
Pada tahun 1996, Kolej-Kolej Bersekutu (KKB) mula menawarkan program Pra-Diploma dan Diploma kepada lepasan SPM sebagai sebahagian daripada pengukuhan laluan akses pendidikan tinggi untuk pelajar Bumiputera. Sehingga kini, terdapat 12 buah kolej swasta yang menjadi sebahagian daripada rangkaian Kolej Bersekutu UiTM, iaitu:
-
Kolej UNIKOP
-
Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur
-
Kolej UNITI
-
Kolej Antarabangsa UNIFIELD
-
Kolej Yayasan Pelajaran Johor
-
Kolej Yayasan Pahang
-
Kolej SATT
-
Kolej WIDAD
-
Kolej FELCRA
-
Melaka International College of Science and Technology (MiCoST)
-
East West International College (EWIC)
-
Institut Sains & Teknologi Darul Takzim (INSTEDT)
Sehingga kini jumlah pelajar KKB setakat Oktober 2025 adalah 1,413 orang dan telah melahirkan ramai graduan yang mendapat akses pendidikan tinggi berkualiti, sekaligus menyokong agenda pembangunan modal insan negara.