Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM, merupakan salah satu mercu tanda utama UiTM, dibina sebagai hasil daripada pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). Pada awalnya, dikenali dengan nama Pusat Konvensyen dan Kebudayaan Universiti Teknologi MARA dan kemudian sebagai Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC).

Pembinaan dewan ini bermula pada 28 Julai 2008 dan disiapkan pada 15 Januari 2011, memberi kesan besar kepada seluruh warga UiTM. Dewan ini menjadi lokasi utama bagi Istiadat Konvokesyen UiTM, mencipta sejarah penting dalam kehidupan graduan yang menerima ijazah di sini. Reka bentuk bangunan yang kontemporari dan futuristik menjadikannya satu simbol kenangan bagi para pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti ini.

DATC telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, yang juga merupakan Canselor Ke-3 UiTM, pada 8 Jamadil Akhir 1434 H, bersamaan dengan 12 Mei 2011.

Pembinaan DATC dilaksanakan dalam dua fasa pembangunan. Fasa pertama merupakan pembinaan auditorium tiga tingkat, manakala bagi fasa kedua pula merupakan cadangan bagi pembinaan dewan serba guna satu tingkat, pejabat pentadbiran enam tingkat dan tempat letak kereta separa basemen tiga aras. Reka bentuk DATC ini dijana oleh beberapa faktor persekitaran dan idea asas. Kelebihan-kelebihan dan kelemahan-kelemahan tapak disintesiskan kepada beberapa idea reka bentuk berdasarkan konsep moden dengan pembangunan yang selamat, bersih, selesa dan berfungsi serta menghasilkan persekitaran visual yang berkualiti. 

lstiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-74 yang berlangsung dari 12 - 20 Mei 2011 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam.

lstiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-74 yang berlangsung dari 12 - 20 Mei 2011 mencipta sejarah apabila menjadi Istiadat Konvokesyen pertama diadakan di DATC yang menyaksikan 15,701 orang graduan menerima ijazah masing-masing. Lebih manis, Istiadat ini menyaksikan Canselor UiTM, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong AI-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin lbni AI-Marhum Sultan Mahmud AI-Muktafi Billah Shah mengisytiharkan dua orang Pro Canselor UiTM yang baru, iaitu Tan Sri Dato' Sri Sallehuddin bin Mohamed dan Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid.

Pada 29 Oktober 2012, perkataan 'Agong' pada nama Dewan Agong Tuanku Canselor telah dipinda kepada 'Agung'. Perkataan 'Agung' memberi maksud besar, luas, tertinggi, teristimewa, terbuka kepada semua bagi menggantikan perkataan 'Agong' yang merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong iaitu gelaran untuk Ketua Negara Malaysia.

Dewan berprestij ini mempunyai kapasiti sehingga 4,000 orang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk menyokong aktiviti akademik dan kokurikulum pelajar serta kakitangan. Antara kemudahan yang disediakan termasuk ruang untuk dewan peperiksaan, aktiviti budaya dan kesenian, aktiviti sukan dan komuniti, serta ruang pameran. Selain itu, DATC turut dilengkapi dengan infrastruktur yang lengkap seperti sistem bekalan air, sistem telekomunikasi, sistem keselamatan, serta peralatan mekanikal dan elektrikal yang moden. Keperluan warga UiTM telah diambil kira dalam pembinaan dewan ini, menjadikan Dewan Agung Tuanku Canselor sebagai pusat kegiatan akademik dan sosial yang unggul di UiTM.

Sumber :

powered by social2s