Program ini merupakan satu inisiatif kerjasama akademik antara The State University of New York (SUNY) dengan Kolej Pengajian Persediaan, Institut Teknologi MARA (ITM). Perjanjian kerjasama tersebut telah ditandatangani pada 11 Julai 1986 oleh Dato’ Nik Abdul Rashid (Pengarah ITM) dan Dr. George C. Lee (Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Gunaan, SUNY at Buffalo). Perjanjian ini berkuat kuasa selama empat (4) tahun, melibatkan tiga kumpulan pengambilan pelajar, dan tamat pada tahun 1990. Program ini mula beroperasi di kampus baharu Subang Jaya pada 15 September 1986, dengan sesi akademik bermula pada 3 November 1986. Kumpulan pelajar pertama yang mendaftar pada tarikh tersebut seramai 408 orang, diikuti kumpulan kedua seramai 199 orang. Antara program pengajian yang ditawarkan ialah kejuruteraan, sains sosial, sains, dan pengurusan perniagaan. Tenaga pengajar bagi program ini terdiri daripada pensyarah-pensyarah tempatan dan luar negara yang dilantik oleh pihak SUNY Buffalo, sekali gus memastikan kualiti pengajaran sejajar dengan standard antarabangsa.

Koleksi foto Bahagian Arkib Universiti ketika Majlis Second Commencement State University of New York at Buffalo bagi Program Kerjasama ITM / SUNY telah berlangsung dengan penuh bersejarah pada 17 Disember 1988 bertempat di Dewan Sri Budiman, Shah Alam. Majlis ini menandakan kejayaan graduan yang telah menamatkan pengajian melalui kerjasama akademik antara Institut Teknologi MARA (ITM) dan State University of New York at Buffalo, sekali gus mencerminkan usaha berterusan ITM dalam memperkukuh jaringan pendidikan antarabangsa serta melahirkan graduan berilmu, berdaya saing dan berwawasan global.
Sumber : Lapuran Akademik Tahun Pertama Program SUNY November 1986 - Desember 1987