“𝐃𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐬𝐞𝐭𝐢𝐚𝐩 𝐡𝐞𝐥𝐚𝐢𝐚𝐧 𝐫𝐞𝐤𝐨𝐝 𝐢𝐧𝐢, 𝐚𝐝𝐚 𝐤𝐢𝐬𝐚𝐡 𝐩𝐞𝐫𝐣𝐮𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧, 𝐩𝐞𝐧𝐜𝐚𝐩𝐚𝐢𝐚𝐧, 𝐝𝐚𝐧 𝐡𝐚𝐫𝐚𝐩𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐛𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐝𝐢𝐥𝐮𝐩𝐚𝐤𝐚𝐧.”– Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UiTM

“𝐼'𝑚 𝑡𝑜𝑢𝑐ℎ𝑒𝑑, 𝑦𝑜𝑢 𝑚𝑎𝑛𝑎𝑔𝑒𝑑 𝑡𝑜 𝑟𝑒𝑡𝑟𝑖𝑒𝑣𝑒 𝑖𝑡 !” ujar YBhg. Tan Sri berulang kali, sebaik melihat fail peribadi beliau bertarikh 1976 yang mengandungi dokumen bersejarah — surat tawaran ITM, borang tamat pengajian dan borang permohonan asrama.

Alhamdulillah, semua dokumen tersebut masih berada dalam keadaan baik dan terpelihara sempurna. Momen penuh emosi ini dirakamkan usai raptai Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 lewat petang tadi. Fail peribadi YBhg. Tan Sri yang disimpan oleh Bahagian Arkib Universiti diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib kepada beliau di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, disaksikan oleh Ketua Pustakawan, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan serta Pendaftar UiTM, Tuan Haji Muhamad Nizam bin Noordin.

Antara dokumen yang paling menyentuh hati ialah permohonan pengurangan bayaran asrama kerana ketidakmampuan pada waktu itu. “Bukan semuanya mudah dan indah,” ujar YBhg. Tan Sri dengan nada penuh makna. Terima kasih diucapkan kepada Bahagian Arkib Universiti atas dedikasi dalam memastikan dokumen berharga ini kembali ke tangan pemilik asalnya — satu detik yang menyatukan semula kenangan, perjuangan, dan sejarah UiTM yang tidak ternilai.

powered by social2s