Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin menyampaikan surat pembubaran kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Sesi 2024/2025, Saudara Muhammad Haziq bin Sabri. 

Selaras dengan peruntukan Bahagian IV(A), Seksyen 23E (1) dan (2), Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), dengan ini berkuat kuasa mulai 31 Oktober 2025, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA Sesi 2024/2025 secara rasmi dibubarkan. Penyampaian surat pembubaran telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Sesi 2024/2025, Saudara Muhammad Haziq bin Sabri. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi.

Turut hadir bersama, pengurusan kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar serta Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam Sesi 2024/2025, yang turut menyaksikan detik bersejarah ini sebagai tanda penutup rasmi kepada sesi kepimpinan pelajar tahun semasa.

Pembubaran ini menandakan berakhirnya satu lagi fasa kepimpinan pelajar yang telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan suara mahasiswa serta memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti pelajar di seluruh kampus UiTM. Proses pemilihan baharu iaitu Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bagi sesi 2025/2026 akan dilaksanakan bermula 31 Oktober - 13 November 2025.