Tersimpan dalam koleksi Bahagian Arkib Universiti, Berita MARA Bilangan ke-4 yang diterbitkan pada November 1967 merupakan sebuah penerbitan bernilai tinggi yang mengimbau kenangan tentang detik awal perjuangan MARA. Dengan ukuran 26.3 sentimeter x 19 sentimeter, majalah setebal 52 halaman ini (tidak termasuk kulit depan dan belakang) memuatkan pelbagai gambar yang bersejarah. Menariknya, ia juga menggunakan gaya Bahasa Melayu lama yang menambahkan lagi nilai nostalgianya.

Kulit buku ini turut memaparkan gambar upacara bersejarah Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein, ketika beliau meletakkan batu asas Institute Teknoloji MARA di Batu Tiga, Jalan Klang, Selangor. Upacara ini di saksikan oleh 2,000 orang yang hadir terdiri dari Menteri, Wakil Rakyat, Perwakilan Asing dan wakil penduduk dari seluruh negara.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan, “Ilmu itu ia-lah suloh kemajuan… istiadat meletakkan batu asas Institute Teknoloji MARA ini ada-lah satu lagi perkembangan dan kemajuan yang telah di-capai oleh MARA.” Ucapan ini menggambarkan harapan dan kebanggaan Y.A.B. Tun Abdul Razak terhadap peranan MARA dalam memperkasa Latihan dan Pelajaran.

Di helaian 10, paparan satu ruangan khas berjudul Ruangan Kedai Runchit yang memaparkan rencana mengenai Pekedai Runcit Bumiputra, sebahagian daripada penerima sumbangan Bahagian Pinjaman MARA. Enche’ Othman Ahmad turut tampil dalam penerbitan ini sebagai tokoh yang memberi pencerahan mengenai pasaran saham agar rakyat Bumiputra dapat memahami dan melabur dengan bijak, manakala Enche’ A. Malek Hassan pula tampil membahaskan topik ‘Orang Melayu dengan Perniagaan’ menggunakan metafora daripada Hikayat Hang Tuah serta rujukan kisah dalam Islam. Jelas bahawa, berita MARA ini menjadi bukti awal perjuangan memperkasa Bumiputra melalui pendidikan dan perniagaan, merakam akar sejarah Institut Teknoloji MARA yang kini berkembang sebagai UiTM – lambang harapan dan kebanggaan anak bangsa.

Penerbitan berusia 58 tahun ini membuktikan perjuangan MARA ketika itu yang menyokong pembabitan dan peluang dalam dunia perniagaan untuk rakyat, malah mendorong mereka menyertai usaha niaga demi memajukan bangsa dan negara. Selain itu, terdapat juga maklumat promosi latihan di Maktab MARA seperti Kursus Tukang Masak.

Rujukan : Berita MARA November 1967. Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM Shah Alam

powered by social2s