Universiti Teknologi MARA (UiTM) berasa amat berbangga menerima kunjungan rasmi pertama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, yang kembali menjejakkan kaki ke alma mater tercinta — tempat beliau memulakan perjalanan ilmu dan kehidupan pada tahun 1985.

Dalam lawatan yang penuh makna dan emosi ini, Datuk Dr. Anesee menerima semula borang asal permohonannya ke Institut Teknologi MARA (ITM) — lengkap dengan gambar hitam putih dan tulisan tangan beliau ketika remaja. Borang KRP1 bersejarah itu disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, sebagai simbol penghargaan terhadap perjalanan luar biasa beliau daripada seorang pelajar tekun kepada peneraju tertinggi pentadbiran pendidikan tinggi negara pada 15 Mei 2025 di UiTM Puncak Alam, Selangor

“Inilah asal-usul saya… dan saya bangga menjadi produk pendidikan tinggi negara,” ujar beliau penuh rasa syukur dan bangga.

Lebih istimewa lagi, kunjungan beliau turut diraikan bersempena ulang tahun kelahirannya, menjadikan momen ini satu kenangan yang indah dan simbolik — menyatukan kejayaan peribadi dan kebanggaan institusi dalam satu detik bersejarah. Selamat kembali ke alma mater, Datuk Dr. Anesee Ibrahim. UiTM berbangga dengan pencapaian anak didiknya yang terus mengharumkan nama universiti dan negara.