Naik taraf Dewan Konsert Seri Budiman pada tahun 2023.
Caption

Malam yang penuh warna dan irama menyaksikan kelahiran semula sebuah lambang kebanggaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) — Dewan Seri Budiman (DSB) yang kini berwajah baharu sebagai Dewan Konsert Seri Budiman (DKSB). Dengan persembahan bertenaga bertemakan “Eclecticism”, para pelajar dan warga UiTM memukau hadirin dalam sebuah acara yang menandakan transformasi besar buat institusi ini.

Dewan Seri Budiman atau DSB merupakan sebuah bangunan ikonik ITM/UiTM yang sarat dengan sejarah dan kenangan. Dahulu, DSB menjadi dewan utama istiadat konvokesyen ITM dan UiTM sebelum pembinaan Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC). Setelah beberapa tahun melalui proses ubah suai dan naik taraf menyeluruh, kini DSB telah siap sepenuhnya untuk beroperasi dengan wajah dan fungsi baharu.

Bagi para alumni UiTM, DSB pasti menyimpan sejuta kenangan — bukan sahaja kenangan ketika istiadat konvokesyen, tetapi juga pengalaman menduduki peperiksaan akhir, menghadiri konsert penyanyi terkenal tanah air, serta menyertai pelbagai acara besar universiti. DSB bukan sekadar bangunan, tetapi simbol perjalanan akademik dan emosi yang dekat di hati warga UiTM. Kami abadikan kenangan masa lalu di pautan Memori Minggu Pelajar Baru di ITM - UiTM.

Kini, dewan bersejarah itu bernafas kembali sebagai DKSB, sebuah ruang persembahan bertaraf antarabangsa yang mampu menampung 564 penonton serta memenuhi keperluan akustik profesional untuk konsert orkestra dan persembahan muzik berskala besar.

Majlis perasmian bersejarah ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, yang menandatangani plak perasmian sebagai simbolik kepada detik penting ini. Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, YBhg. Datuk Prof. Emeritus Dr. Raduan Che Rose, dan Naib Canselor UiTM, YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor.

Dalam ucapannya, YB Menteri menzahirkan rasa bangga terhadap sejarah panjang DSB yang pernah menjadi pentas utama bagi pameran, persidangan bertaraf antarabangsa serta majlis konvokesyen UiTM suatu ketika dahulu. Kini, dengan wajah dan fungsi baharu, DKSB menjadi simbol kemajuan dan kesinambungan visi UiTM — melahirkan bakat kreatif dan profesional yang mampu bersaing di peringkat global.

Selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju kecemerlangan, DKSB kini dilengkapi teknologi Multi-Camera Production (MCP) terkini dan instrumen canggih yang menjadikannya platform ideal bagi pelajar mengasah potensi seni dan kreativiti mereka.

“DKSB bukan sekadar sebuah bangunan. Ia adalah saksi perjalanan dan penciptaan sejarah baharu UiTM,” ujar beliau sambil berharap dewan ini akan terus dimanfaatkan oleh pelajar dan komuniti setempat sebagai ruang untuk berinovasi, berkarya, dan bersinar di persada dunia.

Terdahulu, satu Majlis Penyerahan Kunci Dewan Konsert Seri Budiman telah berlangsung pada 11 November 2022 sebagai simbolik naik taraf lokasi ikonik ini.

powered by social2s