Berdiri megah di perkarangan DATC, Monumen Hasrat menjadi lambang perjalanan penuh makna UiTM sebagai sebuah universiti yang terus memperkasakan Bumiputera. Monumen istimewa ini menyimpan kapsul masa berisi 13 hasrat dan impian warga UiTM dari 13 cawangan seluruh negara — dikumpulkan menerusi program Kayuhan Kapsul 25 Tahun Rentas Cawangan. Setiap hasrat tersebut membawa aspirasi untuk 25 tahun akan datang, menzahirkan semangat kebersamaan seluruh warga universiti.
Direka dengan gabungan elemen kontemporari, moden dan kalis zaman, monumen ini adalah hasil ilham kreatif pensyarah Kolej Pengajian Alam Bina dan Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM. Lengkungan interweaving yang menjadi tumpuan reka bentuknya melambangkan hubungan erat antara universiti, industri, kerajaan dan komuniti, bersatu demi kemajuan akademik, ekonomi dan sosial negara.
Kemasan keluli tahan karat yang berkilau menggambarkan keutuhan UiTM dalam dunia pendidikan tinggi, manakala warna perak (silver) diangkat sebagai simbolik Jubli Perak UiTM — meraikan perjalanan 25 tahun sebagai sebuah institusi unggul.
Lebih daripada sekadar seni bina, Monumen Hasrat adalah refleksi masa lalu dan cerminan masa depan — menandakan komitmen UiTM untuk terus melangkah 25 tahun ke hadapan dengan penuh iltizam dan visi.