
Sr. Ir. Dr. Suhaimi Abdul Talib ialah seorang tokoh akademik dan jurutera profesional yang telah menabur bakti selama lebih tiga dekad dalam bidang kejuruteraan awam serta pendidikan tinggi. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Melbourne, Australia, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam Pengurusan Air dan Alam Sekitar (Distinction) di Loughborough University, United Kingdom. Seterusnya, beliau menyempurnakan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Teknologi Malaysia.
Kerjaya beliau bermula pada tahun 1988 di Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA), dan sejak itu beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan asas akademik Fakulti Kejuruteraan Awam. Dengan visi yang jelas dan kepimpinan yang berwibawa, beliau menjadi penggerak utama pelaksanaan Outcome-Based Education (OBE) serta memperkukuh status Akreditasi Kendiri UiTM di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Engineering Accreditation Council (EAC).
Dalam bidang penyelidikan, beliau telah menerbitkan lebih daripada 100 karya ilmiah, termasuk 60 artikel jurnal berindeks antarabangsa seperti ASCE Journal of Environmental Engineering, Heliyon dan KSCE Journal of Civil Engineering. Beliau telah mengetuai lebih 15 geran penyelidikan dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.5 juta, yang menumpukan kepada kejuruteraan air, bioremediasi dan keselamatan sumber air. Selain itu, beliau telah membimbing lebih 25 pelajar pascasiswazah, termasuk 10 pelajar PhD dalam bidang kejuruteraan alam sekitar dan bioteknologi alam sekitar.
Kecemerlangan beliau turut mendapat pengiktirafan meluas di peringkat universiti, kebangsaan, dan antarabangsa. Beliau kini berkhidmat sebagai Alternate Chair, MQA Accreditation Committee; Master Trainer di MQA Training Centre; serta Profesor Adjung di HELP University dan UNITAR International University. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pasukan Audit EU-SHARE Indonesia (2018), Pengerusi QA Expert di Independent University Bangladesh (IQAC, 2018), serta Pakar Antarabangsa bagi Brunei Darussalam National Accreditation Council (2025). Dedikasi beliau turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah, termasuk UiTM Exemplary Researcher Award dan Asia’s Education Excellence Award.
Sebagai jurulatih profesional dan penceramah tersohor, beliau telah menyampaikan lebih 100 siri bengkel dan latihan, antaranya CQI & Accreditation Workshop (UiTM) dan OBE Alignment (MQA), selain diiktiraf sebagai Certified HRDC Trainer. Beliau turut memimpin pelbagai bengkel strategik seperti UiTM ReNeu Academic Entity (2022) dan Certified QA Officer International Programme (2023–2025). Dalam arena wacana akademik, beliau sering dijemput sebagai penceramah dan panel dalam pelbagai forum berprestij, termasuk ICSEST 2022, ICESM 2022, dan MQA International Conference 2024, yang menumpukan perbincangan mengenai nilai, etika dan masa depan pendidikan tinggi negara.
Dengan rekod kepimpinan yang cemerlang, komitmen yang konsisten, dan legasi ilmu yang terus mengakar kuat dalam dunia akademik, Universiti Teknologi MARA dengan penuh sukacita menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Yang Berusaha Sr. Ir. Dr. Suhaimi Abdul Talib.
Kecemerlangan Profesor Emeritus Sr. Ir. Dr. Suhaimi Abdul Talib dapat dilihat melalui rekod kepimpinan serta sumbangan signifikan beliau di UiTM. Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM dari tahun 2015 hingga 2017, diikuti pelantikan sebagai Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM dari tahun 2020 hingga 2022. Dengan pengalaman luas dan komitmen tinggi dalam memperkukuh bidang akademik, penyelidikan serta pembangunan universiti, penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada beliau merupakan pengiktirafan tertinggi atas jasa dan dedikasi yang telah memberi impak besar kepada UiTM serta landskap akademik negara.
Sehingga kini UiTM telah menganugerahkan 10 orang penerima gelaran Profesor Emeritus seperti di pautan sejarah Profesor Emeritus UiTM.
Sumber : Buku Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103