Barisan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Kanan Universiti, Majlis Profesor, Para pemimpin persatuan dan kesatuan, Wakil Majlis Perwakilan Pelajar serta warga UiTM bersama poster Visi, Misi, Falsafah Dan Objektif Baharu UiTM 2025

Majlis Pelancaran Visi, Misi, Falsafah dan Objektif (VMFO) baharu bukan sekadar pelancaran sebuah dokumen rasmi, tetapi satu deklarasi tekad dan arah baharu bagi seluruh warga universiti untuk melangkah dengan semangat dan jiwa yang diperbaharui. UiTM berdiri dengan keyakinan bahawa setiap langkah yang diatur hari ini adalah kesinambungan kepada amanah besar yang diwariskan sejak 1956 — amanah untuk membina insan, memartabatkan bumiputera dan menyumbang kepada kemajuan negara. Majlis bersejarah ini berlangsung di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam pada 13 November 2025 menandakan satu lagi detik penting dalam sejarah panjang Universiti Teknologi MARA. Ini merupakan kali kelima Falsafah UiTM diberi nafas baharu sebagai simbolik lafaz diperbaharui untuk generasi akan datang.

Ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc

Sejarah UiTM bermula dengan penubuhan Dewan Latehan RIDA, yang ketika itu menjadi simbol harapan anak bangsa luar bandar untuk keluar daripada kepompong kemiskinan melalui latihan kemahiran dan pendidikan. Dari hanya 25 orang pelajar pertama yang mengikuti kursus perniagaan, UiTM berkembang menjadi institusi pendidikan tinggi terbesar di Malaysia, dengan kampus di setiap negeri. Namun, yang kekal tidak berubah ialah falsafah asalnya — untuk membangunkan potensi bumiputera agar menjadi tenaga profesional yang berilmu, beradab dan berdaya saing.

Ucapan perasmian oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil, Pengerusi Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM
Pelancaran Rasmi Visi, Misi, Falsafah dan Objektif Baharu UiTM dengan upacara memotong reben dan menandatangani replika gergasi oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc (Naib Canselor UiTM) dan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil (Pengerusi Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM)

Perjalanan masa membawa bersama perubahan dunia. Teknologi, ekonomi, nilai sosial dan cara hidup masyarakat kini bergerak dengan pantas. UiTM tidak boleh kekal statik. Ia perlu menyesuaikan diri dengan realiti baharu — memastikan hala tuju universiti kekal relevan, progresif dan berpaksikan kesejahteraan sejagat. Lantaran itu, VMFO baharu UiTM digubal sebagai satu penjajaran strategik, agar universiti ini terus berdaya saing dalam menghadapi cabaran era digital, perubahan nilai kemanusiaan dan keperluan global terhadap profesional bumiputera yang kompeten.

Deklarasi Visi, Misi & Falsafah Baharu UiTM oleh Warga UiTM diketuai olehYBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc (Naib Canselor UiTM)

Visi baharu UiTM — “Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional” — adalah cerminan cita-cita besar dan amanah sejarah yang dipikul bersama. Keunggulan yang diimpikan bukan diukur pada kedudukan ranking semata-mata, tetapi pada kualiti graduan yang berilmu, beretika dan berjati diri, yang mampu memimpin masyarakat serta mengangkat martabat bangsa di peringkat antarabangsa. Frasa “pemacu bumiputera profesional” pula menegaskan peranan UiTM sebagai penerus legasi RIDA, yang terus membentuk mobiliti sosial dan pembangunan sosioekonomi bangsa melalui ilmu dan kepakaran.

Selaras dengan visi tersebut, Misi baharu UiTM ialah “Melonjak keilmuan, adab dan kepakaran bumiputera agar berjiwa usahawan melalui kurikulum termaju, pembangunan bakat, penyelidikan berimpak dan sinergi industri ke arah kemakmuran tanah air serta kesejahteraan sejagat.” Misi ini menggambarkan usaha menyeluruh UiTM untuk melahirkan insan yang seimbang dalam aspek intelektual, moral dan profesional. Ia menekankan tiga teras utama: keilmuan yang memperkukuh daya fikir dan penyelidikan, adab yang membentuk budi pekerti dan integriti, serta kepakaran yang menjadikan graduan UiTM dihormati di pentas global. Frasa “berjiwa usahawan” menandakan UiTM mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja mencari pekerjaan, tetapi juga mencipta peluang, membawa inovasi dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Falsafah baharu UiTM pula menegaskan keyakinan bahawa setiap insan dilahirkan dengan bakat, minat dan potensi anugerah Allah SWT yang boleh diasuh, dididik dan dilatih melalui ilmu dan nilai Islam. Falsafah ini menuntut setiap warga universiti — pensyarah, pelajar dan pentadbir — untuk terus berkembang dalam akhlak, kepimpinan dan kebijaksanaan. Ia adalah peringatan bahawa pendidikan di UiTM bukan sekadar untuk melahirkan cendekiawan, tetapi untuk membangunkan manusia yang berilmu, beradab dan mampu menjuarai transformasi diri, masyarakat dan negara.

UiTM turut memperkenalkan 10 objektif baharu yang menjadi penanda aras kejayaan universiti dalam mendepani masa depan. Antaranya ialah memperluas akses pendidikan secara inklusif, memperkukuh kurikulum terkedepan, meningkatkan kebolehpasaran graduan, mempergiat penyelidikan berimpak tinggi, memperkukuh jaringan strategik global, membangunkan insan secara holistik, serta memastikan tadbir urus universiti kekal cekap, berintegriti dan mampan. Kesepuluh objektif ini membentuk tiga teras utama universiti — kualiti pendidikan, keutuhan nilai dan kelestarian organisasi.

Visi Misi Falsafah Moto Objektif UiTM 2025 Jawi dalam tulisan jawi.

Segala pembaharuan ini lahir daripada kesedaran bahawa ilmu tanpa adab tidak membawa kemuliaan, dan adab tanpa ilmu tidak membawa kemajuan. Maka, VMFO baharu UiTM menyatukan nilai kemanusiaan — hikmah, integriti, jati diri, hormat dan disiplin — agar UiTM terus menjadi institusi yang memanusiakan ilmu dan mendidik dengan hikmah. Inilah asas kepada budaya UiTM yang sentiasa belajar, berfikir dan bertindak secara beradab.

UiTM bukan sekadar universiti. Ia adalah tempat anak bangsa datang dengan harapan dan pulang dengan maruah. Di sinilah bakat kecil disuburkan menjadi kekuatan besar. UiTM adalah amanah sejarah — amanah yang mesti digalas bersama, agar universiti ini terus kekal sebagai simbol kebanggaan bumiputera dan harapan negara.

Majlis ini turut disiarkan secara atas talian melalui saluran UiTM YouTube Channel.

Sumber : Teks Ucapan Pelancaran Naib Canselor UiTM sempena Majlis Pelnacaran Visi, Misi, Falsafah dan Objektif UiTM 2025. Koleksi Bahagian Arkib Universiti UiTM Shah Alam

powered by social2s