
Dr. Ahmad Sazali Hamzah, anak kelahiran Tanjung Tualang, Perak, telah menabur bakti selama 36 tahun sebagai pendidik dan penyelidik dalam bidang Kimia Organik dan Sintesis di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Anak bongsu daripada tiga beradik ini memulakan perjalanan pendidikannya di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar serta Sekolah Menengah Teknik Pulau Pinang, sebelum melanjutkan pengajian A-Level di City of Bath Technical College, United Kingdom.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kimia dari University of Liverpool pada tahun 1985. Bagi memperkukuh peranan sebagai pendidik, beliau menyambung pengajian dalam Sijil Perguruan Lepasan Ijazah di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang pada tahun 1986, seterusnya memulakan kerjaya sebagai tenaga pengajar di Institut Teknologi MARA (ITM) Cawangan Pahang pada tahun berikutnya.
Didorong oleh kecintaan mendalam terhadap ilmu, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Kimia di Universiti Putra Malaysia dan berjaya menamatkannya pada tahun 1994. Tiga tahun kemudian, beliau kembali ke United Kingdom bagi meneruskan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kimia Organik di University of Loughborough dan menamatkannya pada tahun 2000.
Sepanjang perkhidmatannya di UiTM, Dr. Ahmad Sazali telah menggalas pelbagai jawatan kepimpinan penting seperti Rektor UiTM Selangor, Pengerusi Majlis Profesor UiTM, Pengarah Institut Sains, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPSiS). Beliau turut menghasilkan lebih daripada 100 penerbitan ilmiah serta menulis dua buku teks dalam bidang Kimia Organik. Komitmen beliau terhadap pembangunan bakat penyelidik terserlah melalui bimbingan kepada 18 pelajar PhD, 13 pelajar sarjana dan beberapa penyelidik pascakedoktoran dari Malaysia, Syria, Indonesia dan United Kingdom.
Sumbangan beliau dalam bidang penyelidikan amat signifikan, dengan kejayaan memperoleh lebih RM15 juta geran penyelidikan daripada pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa seperti JICA, MOHE, MOSTI, Petronas dan Sime Darby. Kepakaran beliau dalam Kimia Sintesis turut menyumbang kepada penghasilan enam paten antarabangsa dan satu paten kebangsaan hasil kerjasama bersama pelbagai institusi penyelidikan dan universiti.
Pro-Canselor UiTM menganugerahkan penganugerahan kurnia gelaran Profesor Emeritus kepada Dr. Ahmad Sazali Hamzah di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke 102 pada 3 September 2025.
Kecemerlangan Dr. Ahmad Sazali dirai melalui pelbagai pengiktirafan berprestij, antaranya Tokoh Akademik UiTM (2017), Penyelidik Terbaik UiTM (2005), UNESCO Travelling Grant (1995) dan Taiwan Lectureship Award (2016). Dengan dedikasi yang tidak pernah luntur dalam memperkasa pendidikan, memperluas ufuk penyelidikan dan memartabatkan universiti di peringkat antarabangsa, penganugerahan Profesor Emeritus kepada beliau merupakan penghormatan tertinggi UiTM kepada seorang tokoh yang telah mengukir sejarah kecemerlangan universiti serta dunia akademia negara. Ikuti juga sejarah lantikan beliau sebagai Rektor di pautan Peneraju UiTM Cawangan Selangor.
Sumber : Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA Ke-102