Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, berkenan mengisytiharkan pelantikan Pro-Canselor baharu UiTM, YBhg. Tan Sri Dato' Seri Idris Jusoh, pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam, pada 19 November 2025.

Pemasyhuran ini menandakan detik penting dalam sejarah universiti, memperlihatkan keyakinan tinggi terhadap kepimpinan dan ketokohan beliau dalam memacu agenda pendidikan negara. Berbekalkan pengalaman luas menerajui pelbagai institusi nasional, termasuk pernah memegang portfolio Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Tan Sri Dato' Seri Idris Jusoh membawa wawasan yang jelas dan progresif untuk mengangkat pencapaian UiTM ke tahap yang lebih tinggi.

Pelantikan ini turut memperkukuh komitmen UiTM dalam memperluas kecemerlangan akademik, memantapkan ekosistem penyelidikan berimpak serta mempertingkat mobiliti sosial melalui pendidikan berkualiti. Kepimpinan beliau diyakini mampu mempercepat aspirasi UiTM untuk terus menjadi universiti pilihan yang melahirkan graduan holistik, berkualiti global dan berdaya saing.

UiTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta mengucapkan tahniah kepada YBhg. Tan Sri Dato' Seri Idris Jusoh atas pemasyhuran ini. Dengan dukungan kepimpinan baharu ini, UiTM melangkah yakin menuju masa depan yang lebih gemilang, berteraskan integriti, inovasi dan kecemerlangan holistik.

 

 

powered by social2s