
P.S.M., S.S.A.P., D.S.A.P.

Biografi Tan Sri Dato’ Sri Zarinah Anwar
Seorang tokoh unggul dalam dunia korporat, perundangan dan pendidikan tinggi negara, Tan Sri Dato’ Sri Zarinah Anwar adalah simbol kepimpinan berwibawa dan inspirasi wanita Malaysia. Berbekalkan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB Hons) dari Universiti Malaya, beliau memulakan kerjaya sebagai Majistret dan pegawai undang-undang sebelum melakar kecemerlangan di Shell Malaysia selama lebih dua dekad. Kepimpinan beliau mencapai kemuncak apabila dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), institusi pengawalselia pasaran modal negara.
Selepas bersara daripada SC pada tahun 2012, dedikasi beliau terus menyerlah dalam pelbagai organisasi ternama termasuk Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Malaysia Debt Ventures (MDV), serta sebagai Pengerusi Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM).
Dalam dunia akademik, Tan Sri Zarinah memegang amanah besar sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), selain dilantik sebagai wanita pertama menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM). Beliau turut dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Felo Oxford Centre for Islamic Studies, serta ahli lembaga penasihat di Emiriah Arab Bersatu. Komitmen beliau terhadap kepelbagaian gender terserlah melalui kepimpinan sebagai pengasas dan pengerusi 30% Club Malaysia, yang memperjuangkan penyertaan wanita dalam kepimpinan korporat.
Dengan pengalaman luas, visi strategik, serta jiwa kepemimpinan yang inklusif, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Zarinah Anwar terus menjadi inspirasi generasi baharu dalam merealisasikan masa depan negara.

Sumber :
Buku Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-86 (https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/17344/2/BK_ISTIADAT%20KONVOKESYEN%2086_17.pdf)