Tan Sri Dato’ Sallehuddin Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Majlis ITM ke-3 menggantikan Dato’ Dr. Mansor bin Othman yang tamat tempoh pada 31 Mei 1985. Beliau dilahirkan pada 23 September 1932 di Kampung Dong, Raub, Pahang dan menetap di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam
Bidang Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya di Singapura pada tahun 1959. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan, Lembaga Kemajuan Luar Bandar dan Industri (RIDA) pada 7 Ogos 1959 dan memulakan kerjayanya di Ibu Pejabat RISDA. Beliau telah mendapat Sijil Program Cukai Antarabangsa dan pada 1981 mendapat Program Pengurusan Lanjutan di Sekolah Undang-Undang Harvard. Beliau menyandang jawatan Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi dari tahun 1965 hingga tahun 1982. Beliau bersara pada tahun 1990 selepas berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-8 mulai 15 Jun 1984 hingga 31 Januari 1990.

Di antara perubahan besar yang dibawa beliau ke dalam Perkhidmatan Awam termasuklah mempertingkatkan tahap kualiti perkhidmatan kaunter agensi kerajaan. Beliau juga mengambil langkah memperbaiki struktur pentadbiran pejabat daerah yang merupakan agensi pelaksana program-program pembangunan kerajaan di peringkat akar umbi. Beliau dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Pengurusan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 19 Jun 1997. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sehingga Januari 2000 dan telah memegang pelbagai jawatan kanan dalam Kerajaan Persekutuan. Lantikan Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Sallehuddin Mohamed sebagai Pro-Canselor UiTM berkuatkuasa pada 15 Disember 2010 sehingga 14 Oktober 2024.

Satu majlis penuh penghormatan telah diadakan bagi meraikan Tan Sri Dato' Sri (Dr.) Sallehuddin Mohamed, seorang tokoh yang telah mencurahkan khidmat bakti yang luar biasa dalam membina legasi kecemerlangan pada 28 November 2024. Majlis ini menjadi wadah untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan beliau yang tiada bandingan dihadiri oleh barisan Pengurusan UiTM.

Sumber : Memoir Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Sallehuddin Mohamed, Pejabat Komunikasi Strategik UiTM