Tan Sri Dato’ Sallehuddin Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Majlis ITM ke-3 menggantikan Dato’ Dr. Mansor bin Othman yang tamat tempoh pada 31 Mei 1985. Beliau berkhidmat bermula 1 Jun 1985 sehingga 14 Februari 1989. Beliau dilahirkan pada 23 September 1932 di Kampung Dong, Raub, Pahang dan menetap di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Bidang Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya di Singapura pada tahun 1959. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan, Lembaga Kemajuan Luar Bandar dan Industri (RIDA) pada 7 Ogos 1959 dan memulakan kerjayanya beliau di Ibu Pejabat RISDA.
Pada tahun 1967/1968 beliau telah mendapat Sijil Program Cukai Antarabangsa dan pada 1981 mendapat Program Pengurusan Lanjutan di Sekolah Undang-Undang Harvard. Beliau menyandang jawatan Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi dari tahun 1965 hingga tahun 1982. Beliau bersara pada tahun 1990 selepas berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-8 mulai 15 Jun 1984 hingga 31 Januari 1990. Di antara perubahan besar yang dibawa beliau ke dalam Perkhidmatan Awam termasuklah mempertingkatkan tahap kualiti perkhidmatan kaunter agensi kerajaan. Beliau juga mengambil langkah memperbaiki struktur pentadbiran pejabat daerah yang merupakan agensi pelaksana program-program pembangunan kerajaan di peringkat akar umbi. Beliau dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Pengurusan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 19 Jun 1997.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sehingga Januari 2000 dan telah memegang pelbagai jawatan kanan dalam Kerajaan Persekutuan. Tan Sri Dato’ Sri Sallehuddin Mohamed kini menjadi Pro Canselor UiTM mulai 12 Mei 2011.
Rujukan
1. Shaping a Dream (1956-1999)
2. Bernama Library & Infolink Service