Dato’ Dr. Mansor bin Othman dilantik sebagai Pengerusi Majlis ITM ke-2 menggantikan Tan Sri Dr. Muhammad Ghazali Shafie yang tamat tempoh pada 28 Ogos 1975. Beliau berkhidmat bermula daripada 29 Ogos 1975 sehingga 31 Mei 1985. Beliau dilahirkan di Kampung Sawah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 12 Januari 1924. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Tuanku Mohamed di Kuala Pilah. Pada tahun 1953, beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian), Universiti Malaya, Singapura. Beliau merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan sejak tahun 1969 hingga 1978 sewaktu dilantik menjadi Timbalan dan Pengerusi Majlis ITM.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Guru di Kelas Normal sebelum berpindah ke Sekolah Inggeris di Port Dickson. Ketokohan beliau dalam bidang pendidikan telah memungkinkan beliau dilantik sebagai Pegawai Pendidikan pada tahun 1954. Setelah sekian lama menyumbang jasa sebagai Guru, beliau akhirnya mengubah pandangan dengan menyertai Shell Federation of Malaya Ltd sebagai Pengurus Pemasaran. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pusat Latihan MARA dan pernah mentadbir selama 2 bulan  di Maktab MARA dari 1 Oktober hingga 30 November 1965. Pada Julai 1971, beliau menerima Datuk Setia Lela DiRaja yang membawa gelaran Dato‘ daripada Kerajaan Negeri Sembilan.

Setelah bersara dalam kerajaan dan politik pada tahun 1986, beliau menguruskan perniagaan keluarga. Beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan dari ITM pada tahun 1998. Pemilihan ini berdasarkan sumbangannya dalam meneraju, pendorong hasrat dan pemikir yang berjaya menempatkan bangsa Melayu di satu kedudukan yang boleh banggakan pada hari ini menerusi bidang pendidikan. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir akibat angin ahmar pada 21 Januari 1999.

 

Rujukan

1. Shaping a Dream (1956-1999)

2. Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM

3. Bernama Library & Infolink Service