Tan Sri Dr. Muhammad Ghazali Shafie merupakan Pengerusi Majlis Institut Teknologi MARA (kini Lembaga Pengarah Universiti) yang pertama dilantik selepas Institut tidak lagi diletakkan di bawah Bahagian Latihan MARA dan diberi kuasa autonomi dalam urusan pentadbirannya pada tahun 1970. Beliau dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 22 Mac 1922. Mula mendapat pendidikan awal di Malay School dan Government English School di Raub dan Kuala Lipis, Pahang. Pendidikan tertinggi beliau adalah Ijazah dalam bidang Pengajian Antarabangsa di London School of Economics, Institute of Commonwealth Studies pada tahun 1954.
Pada tahun 1941-1946 beliau berkhidmat dalam Pasukan Sukarelawan Malaya dan Pasukan Gerakan Menentang Jepun. Pada tahun 1957, beliau menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke India dan 1959 menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri. Perkembangan ITM sewaktu beliau menjadi Pengerusi Majlis adalah dengan penubuhan ITM Cawangan Sabah (Mac 1973), ITM Cawangan Sarawak (Julai 1973), ITM Cawangan Perlis (5 Julai 1974) dan ITM Cawangan Terengganu (1 Julai 1975). Selain daripada perkembangan ITM, beliau juga terpaksa berhadapan dengan demonstrasi yang berlaku pada 22 April 1974 dimana para pelajar ITM berarak dari Shah Alam ke Bangunan Parlimen bagi menuntut taraf ITM kepada Universiti.
Beliau berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang dari ITM pada tahun 1998. Penganugerahan ini adalah sebagai tanda menyatakan terima kasih atas sumbangan bakti beliau yang telah dicurahkan dalam pembangunan ITM. Peristiwa beliau terselamat dalam satu nahas kapal terbang Cessna 206 yang beliau pandu di Kampung Janda Baik yang mengorbankan Pengawal Peribadi dan Pembantu Juruterbang pada 10 Januari 1982 merupakan perkara ajaib yang berlaku pada diri beliau. Tun Muhammad Ghazali Shafie meninggal dunia pada usia 88 tahun di rumahnya di Wangsa Baiduri, Subang Jaya jam 7.45 malam, Ahad 24 Januari 2010 akibat sakit tua.
Rujukan
1. Shaping a Dream (1956-1999)
2. Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM
3. Bernama Library & Infolink Service