Sejarah Fakulti Pendidikan bermula di Pusat Pengajian Persediaan, yang menawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam TESL, program bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).Pada Disember 1996, UiTM telah diberi kuasa oleh Kementerian Pendidikan untuk menjalankan program ijazah TESLnya sendiri, sekaligus memulakan penubuhan pada Ogos 1997 dengan kelulusan Lembaga Pengarah UiTM.Pada tahun 1997, fakulti telah mengadakan program ijazah khas yang dikenali sebagai Program Pensiswazahan Guru-guru Lepasan Kursus Diploma Perguruan Khas (KDPK) dalam TESL, Pendidikan Seni, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Muzik dan Pengurusan Pusat Sumber Sekolah.

Pada November 2001, fakulti mula menawarkan Sarjana Pendidikan TESL secara kerja kursus dan Program Sarjana Pendidikan dan PhD melalui penyelidikan.Fakulti juga terlibat dalam program bersama Kementerian Pendidikan yang bermula pada 2002, menawarkan program ijazah khas yang dikenali sebagai Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) kepada guru bukan siswazah. Program PKPG adalah bertujuan untuk melahirkan guru siswazah dalam bidang berikut: TESL, Pendidikan Seni, Multimedia Interaktif, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Matematik dan Pendidikan Sains.

Pada November 2005, fakulti telah memulakan satu lagi program bersama dengan Kementerian Pendidikan dengan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) dalam jurusan Pengurusan Pendidikan. Program khas bersama itu juga dikenali sebagai Program Khas Pensiswazahan Guru Besar atau ringkasnya PKPGB. Program ini ditawarkan di kampus UiTM Shah Alam dan UiTM Sarawak.

Pada Mac 2025, Fakulti Pendidikan secara rasminya membuka ambilan pertama untuk program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Konsisten dalam melahirkan graduan yang dinamik dan mampu menembusi halangan kebolehpasaran kerja, Fakulti Pendidikan kini menjadi medan pertembungan idea yang dinamik dan serba boleh bagi melahirkan pemimpin masa depan dan individu luar biasa.