Buku program Minggu Orientasi sesi akademik 1977/78 menjadi saksi kepada semangat dan cita-cita besar anak muda Bumiputera ketika itu. Penerbitan berusia 48 tahun ini dicetak dalam 26 muka surat.
 
Dalam ucapan aluan Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, beliau menekankan betapa bertuahnya 2,794 pelajar baru yang terpilih daripada lebih 12,000 pemohon untuk menjejakkan kaki ke ITM. Angka itu sendiri menggambarkan betapa tingginya persaingan serta harapan yang diletakkan kepada generasi ini untuk menjadi tenaga penggerak pembangunan negara.
 
 
Tema orientasi tahun tersebut, “Siswa Aspirasi Negara”, bukan sekadar slogan. Ia adalah amanah yang digalas oleh setiap mahasiswa. Ucapan demi ucapan daripada Pengerusi Majlis ITM, Pengarah ITM hingga Jawatankuasa Perwakilan Pelajar semuanya menekankan perkara sama iaitu bahawa kejayaan pelajar adalah kejayaan bangsa. Orientasi di ITM dilihat bukan hanya pengenalan kepada kehidupan kampus, tetapi sebagai medan pembentukan jati diri, disiplin serta semangat kebangsaan.
 
Pelajar baharu ketika itu mengangkat ikrar dengan penuh semangat, berjanji untuk menjaga nama baik institusi, mematuhi peraturan serta menggunakan peluang pendidikan dengan sebaiknya. Lagu-lagu rasmi yang berkumandang seperti Hasrat Kami, Barisan MARA dan Siswa-Siswi ITM menambahkan roh perjuangan, mengikat mahasiswa dengan semangat kolektif untuk menuntut ilmu demi agama, bangsa dan negara.