
Brosur terawal dan terbesar dalam koleksi Bahagian Arkib Universiti ini berukuran 51.2 cm (lebar) × 45.1 cm (tinggi), saiznya lebih besar berbanding brosur yang lain. Berwarna biru dan teks dicetak dalam warna hitam. Ringkas namun padat dengan sejarah awal penubuhan kajian ini. Brosur ini menampilkan ejaan lama seperti institiut dan ukor. Kajian ini menampilkan bidang yang menjadi tunjang kepada lahirnya ramai arkitek, jurukur dan perancang masa depan negara.
Bidang ini bermula dengan hanya 60 orang pelajar. Dari jumlah yang kecil itu bermulalah sebuah perjalanan besar. Ia kemudian berkembang kepada dua cabang utama, iaitu Kajian Senibina, Perancangan dan Ukur serta Kajian Senilukis dan Senireka.


Hari demi hari, bilangan pelajarnya bertambah, pensyarahnya kian ramai dan kursus yang ditawarkan semakin pelbagai. Ketika itu, enam jabatan utama di bawah bidang ini menampung lebih 500 pelajar dengan dibimbing oleh 55 pensyarah sepenuh masa. Sejak awal, ia diwujudkan untuk memberi ilmu dan latihan kepada Bumiputera dalam bidang teknikal, separa profesional dan profesional. Ia menjadi bukti bahawa anak bangsa mampu melangkah jauh, menjadi teknologis dan profesional yang khidmatnya amat diperlukan negara.

Di bawah naungan enam jabatan iaitu Senibina, Bangunan, Ukur Bahan, Perancang Bandar dan Wilayah, Pengurusan Harta Tanah serta Rekabentuk Dalaman, pelbagai kursus ditawarkan. Antaranya termasuklah Diploma Senibina, Diploma Ukur Bahan, Diploma Perancang Bandar dan Wilayah, Diploma Bangunan, Diploma Pengurusan Harta Tanah serta Rekabentuk Dalaman. Setiap kursus ini menjadi pintu yang membuka jalan kepada pelajar untuk menabur bakti kepada pembangunan negara.

Apabila kita menoleh kembali, bidang ini bukan sekadar sebuah pusat pengajian. Ia adalah cerita tentang semangat, pengorbanan dan cita-cita generasi terdahulu. Dari bilik kuliah yang sederhana hinggalah ke mercu pembangunan moden, alumni Kajian Senibina, Perancangan dan Ukur telah meninggalkan jejak mereka di serata tanah air. Hari ini, bidang ini terus melahirkan generasi baharu, bukan sekadar dengan ilmu, tetapi juga dengan semangat perjuangan yang menjadi warisan UiTM untuk membina maruah bangsa melalui pendidikan. Ikuti sejarah awal penubuhan di pautan Fakulti Senibina Perancangan Dan Ukur.
