
Dengan 16 muka surat yang padat dengan catatan berharga, buku Majlis Pelancaran Logo UiTM merakam sebuah detik bersejarah bagi UiTM. Buku yang berukuran 21 sentimeter x 20.8 sentimeter ini menjadi bukti UiTM telah memperkenalkan identiti visual baharu dalam sebuah majlis rasmi yang penuh bermakna.
Buku Pelancaran Logo UiTM tampil dengan gaya yang elegan melalui pemilihan font Vivaldi MN bagi tajuk utama dan heading di dalamnya. Pemilihan tipografi skrip ini memberi sentuhan klasik, seiring dengan majlis bersejarah pada tahun 1999 ini. Pada muka hadapan, tajuk utama “Majlis Pelancaran Logo Universiti Teknologi MARA” ditulis dalam warna kuning keemasan, menyerlahkan keanggunan dan nilai simbolik acara. Di bawahnya, tertera butiran majlis: “10 November 1999, Bilik Melur Kementerian Pendidikan Malaysia” dan “12 November 1999, Dewan Sri Budiman Universiti Teknologi MARA” – menjadi penanda rasmi tarikh penting lahirnya identiti baharu bagi UiTM. Di bahagian dalam pula, tajuk utama dipersembahkan dengan dua warna: ada yang dicetak dalam hitam dan ada juga yang dicetak menggunakan warna biru muda, menambahkan lagi kesegaran pada persembahan keseluruhan. Gabungan tipografi Vivaldi MN bersama warna-warna ini menjadikan buku tersebut bukan sahaja sebagai rekod rasmi pelancaran logo, tetapi juga naskhah yang menyerlahkan citra dan identiti UiTM pada era tersebut.
Di dalamnya, buku yang berbahasa Melayu ini memaparkan secara ringkas sejarah penubuhan UiTM yang bermula pada tahun 1956 dengan penubuhan Dewan Latihan RIDA yang memberi peluang pendidikan kepada belia luar bandar, sehinggalah ia berkembang menjadi Institut Teknologi MARA pada 1967. Autonomi penuh diberikan pada 1970, dan melalui Akta ITM 1976, institusi ini ditempatkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Perjalanan panjang inilah yang akhirnya membawa kepada transformasi nama dan identiti baharu sebagai UiTM pada 1999.

Halaman ke empat buku ini menerangkan setiap elemen yang terkandung di dalam logo baharu ini. Logo yang diciptakan oleh Profesor Dr. Ahmad bin Zainuddin (kini Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin) penuh dengan simbolik dan maknanya yang tersendiri. Buku yang diletakkan di atas rihal menjadi asas kepada pembentukan logo UiTM, melambangkan sumber ilmu. Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, teras segala ilmu termasuk bidang sains dan teknologi disandarkan kepada Al-Quran dan Hadis. Lima bentuk menyerupai buku yang menjulang ke atas menggambarkan kepelbagaian bidang ilmu serta pelbagai peringkat pengajian yang ditawarkan – daripada sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana hinggalah ke peringkat kedoktoran. Ia juga merujuk kepada Rukun Islam yang menjadi tunjang pembangunan sahsiah pelajar. Pada kemuncaknya, bentuk berlian empat segi melambangkan kualiti hasil daripada penimbaan ilmu di UiTM. Penggunaan rihal pula menzahirkan universiti sebagai dataran ilmu yang memancarkan pengetahuan ke segenap lapisan masyarakat. Manakala dua bilah keris bersilang menegaskan perjuangan bangsa Melayu untuk menegakkan kecemerlangan dan kedaulatan bangsa, selari dengan misi UiTM sebagai universiti kerakyatan yang mendukung aspirasi negara. Logo ini kemudiannya digunakan buat pertama kali pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-50, yang berlangsung dari 13 hingga 18 November 1999.
Buku Pelancaran Logo UiTM bukan hanya helaian kisah, tetapi jejak perjalanan UiTM. Di dalamnya kita temui makna bahawa logo bukan sekadar rupa, tetapi semangat perjuangan, identiti bersama, dan harapan yang terus hidup dari generasi ke generasi.
Ikuti lebih lanjut majlis bersejarah tersebut di pautan Pelancaran Logo Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pencipta logo kebanggaan UiTM ini Profesor Emeritus (2023) Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin.