
Graphic Design Expert

Pro-Canselor UiTM menganugerahkan penganugerahan kurnia gelaran Profesor Emeritus kepada Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke 98 pada 18 November 2023.
Biografi Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin
Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin merupakan Profesor dalam bidang Pengurusan Seni Reka dan Pengurusan Pendidikan Tinggi. Beliau memiliki Diploma Seni Lukis dan Seni Reka dari Institut Teknologi MARA (ITM), Ijazah Sarjana dari Michigan University, serta Doktor Falsafah dari Manchester University. Sebelum menyertai ITM, beliau memulakan kerjaya di Argus Advertising di Singapura dan Kuala Lumpur, termasuk pengalaman di Hong Kong dalam penghasilan iklan animasi yang memenangi pelbagai anugerah. Pada tahun 1975, beliau dilantik sebagai Pengarah Seni di PTM Communications Sdn. Bhd., sebuah syarikat gabungan Pernas, Malaysia Airline System dan Tourist Development Corporation (TDC). Dalam peranan ini, beliau mengetuai strategi penjenamaan dan kempen pengiklanan berprofil tinggi seperti penghasilan logo Sukan Asia Tenggara ke-9 (Sukan SEA 1977), bahan publisiti termasuk setem, poster dan medal kemenangan, serta publisiti perlawanan tinju Muhammad Ali menentang Joe Bugner di Kuala Lumpur.
Beliau menyertai ITM pada tahun 1978 sebagai Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Sepanjang perkhidmatannya, beliau memegang pelbagai jawatan penting seperti Ketua Kursus Seni Reka Grafik (1979), Timbalan Dekan/Timbalan Pengarah/Associate Rector/PNC Hal Ehwal Pelajar, Timbalan Ketua Pusat Pendidikan Persediaan ITM, Penolong Naib Canselor (Perhubungan Korporat), dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik) (2001–2005). Semasa menjadi Penolong Naib Canselor, beliau bersama rakan-rakan di Bahagian Perhubungan Korporat merangka dokumen Strategi 21/21 UiTM bagi meletakkan UiTM sebagai universiti ternama pada abad ke-21. Sebagai TNC Akademik, beliau memperkenalkan Fakulti Perubatan UiTM dan program baharu Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi serta berjaya memperoleh pensijilan ISO 9001:2000 bagi perkhidmatan pendidikan tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran melalui perunding ISO Lloyds Register yang berpusat di London.
Dato’ Dr. Ahmad juga pernah menjawat jawatan Pengarah Pusat Reka Bentuk yang kemudiannya dijenamakan sebagai International Institute of Design Excellence (IIDE) di bawah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Di bawah kepimpinannya, IIDE berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti ilmiah seperti persidangan, siri dialog, dan perkongsian pengalaman daripada tokoh terkenal antarabangsa seperti dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, dan Itali, termasuk pereka terkenal Malaysia, Dato’ Jimmy Choo. Institut ini turut menjana kewangan melalui khidmat perundingan dan kontrak reka bentuk industri seperti projek bernilai hampir RM1.2 juta bagi pavilion Minggu Amanah Saham Nasional anjuran PNB di Seremban, Negeri Sembilan.
Sumbangan beliau dalam dunia reka bentuk diiktiraf melalui pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Rekabentuk Malaysia (2004–2018) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Ahli Majlis Inovasi Kebangsaan (2009–2018). Beliau turut mereka identiti korporat dan logo untuk pelbagai organisasi seperti UiTM, Kementerian Pendidikan Malaysia, 9th ASEAN Games, PASDEC Pahang, Rukun Tetangga, Persatuan Francais Malaysia, IKIP International College dan Intercontinental Logo. Dalam arena antarabangsa, beliau mewakili Malaysia dalam forum di Turki, Korea, Singapura, Taiwan, Jerman, England dan Hong Kong, selain menjalin kerjasama akademik antarabangsa termasuk dengan RMIT dalam bidang social innovation.
Antara pencapaian beliau ialah memenangi Anugerah Emas di 34th International Inventions, Products & Technique di Geneva, Switzerland pada tahun 2006 bagi inovasi Biodegradable EFB Fast Food Innovation Packaging Design, yang dipatenkan di bawah An Improve Dining Apparatus – Industrial Design Right. Pada tahun yang sama, beliau turut memenangi Anugerah Gangsa bagi kategori Medical Equipment Product Design. Beliau juga menerima The Global Education Leadership Award pada tahun 2017 di Kongres Pendidikan Dunia. Selain itu, beliau sering dijemput sebagai ahli juri dan penceramah utama di peringkat antarabangsa termasuk di UK, Korea, Hong Kong, Oman, Turki, Singapura dan Taiwan.
Selepas bersara daripada UiTM, beliau terus aktif dalam bidang akademik. Antara jawatan yang pernah disandang termasuk Penyandang Kursi Za’ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (2006–2009), Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang pertama (2009–2010), Dekan Fakulti Seni, Pengkomputeran dan Industri Kreatif UPSI (2010–2014), dan Pengarah Institute of Creative Arts and Design UCSI University (2014–2018). Beliau kini merupakan Naib Canselor Kolej Universiti Yayasan Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutif KYP Education Sdn. Bhd., selain menjadi penasihat akademik, profesor adjung, dan profesor pelawat di pelbagai IPTA/IPTS termasuk USIM, UniSZA, UNIMAP, MSU, UNISEL dan ASWARA.
Dengan rekod perkhidmatan selama 27 tahun di UiTM dan 13 tahun di institusi pengajian tinggi lain, Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin telah memberikan sumbangan besar dalam bidang seni reka, pendidikan tinggi, kepimpinan akademik, dan pembangunan strategik universiti. Atas pencapaian yang cemerlang ini, Universiti Teknologi MARA dengan penuh sukacita menganugerahkan beliau gelaran Profesor Emeritus sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap dedikasi serta jasa bakti beliau kepada universiti, masyarakat dan negara.
Sumber : Buku Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke - 98 (2023). Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM.