Yang Berbahagia Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Ow Chee Sheng
Pakar Bidang Kejuruteraan Mekanik Bendalir
Fluid Mechanical Engineering Expert

Biografi Penerima Gelaran Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Ow Chee Sheng

Datuk Ir. Dr. Ow Chee Sheng dilahirkan di Melaka pada 15 Januari 1949 dan menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir Melaka (BHES). Kepimpinannya telah mula terserlah ketika beliau di bangku sekolah lagi apabila dilantik sebagai Ketua Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka (MHS) pada tahun 1968. Beliau seorang yang mudah disenangi bukan sahaja dalam kalangan rakan sekerja, malah dalam kalangan pelajar dan rakan kerjasama yang lain. Sifat kebapaan yang sangat menonjol dan sering memberikan nasihat menjadikan beliau mudah didekati.

Beliau dikatakan sering memastikan “Apa yang dimilikinya akan dimiliki juga oleh orang lain,

apa yang diperolehinya akan diperolehi juga oleh orang lain”.

Kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanik Bendalir bermula apabila Datuk Ir. Dr. Ow Chee Sheng memperolehi Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian) di Universiti Canterbury, New Zealand pada tahun 1972. Sebelum memulakan kerjayanya di Institut Teknologi MARA (ITM) pada Jun 1973, beliau merupakan Pembantu Penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Canterbury, New Zealand. Kemudiannya, beliau menyambung pengajian di Imperial College London dan berjaya memperoleh Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 1980. Beliau juga mempunyai kelayakan profesional dalam Computational Fluid Dynamics Software seperti Fluent, Phoenics, Fortran, Macro-Assembler dan QBasic. Perkhidmatan cemerlang beliau di ITM dan kemudian menjadi Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyebabkan beliau dilantik sebagai Profesor Kejuruteraan Mekanikal pada tahun 1999.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini merupakan seorang yang sentiasa memberikan perhatian dan mengutamakan UiTM dalam tindakannya. Beliau telah memberikan sumbangan yang sangat bermakna kepada universiti dan negara sepanjang 42 tahun perkhidmatannya melalui pelbagai peranan dalam kepimpinan universiti, kesarjanaan akademik dan khidmat kepada masyarakat, bangsa dan negara. Beliau berpengalaman luas dalam hal kepimpinan universiti dan pernah berperanan sebagai Ahli Senat UiTM, Ahli Jawatankuasa Kenaikan Pangkat, Gugusan Kejuruteraan, Ahli Jawatankuasa Akademik, dan Ahli Jawatankuasa Kenaikan Pangkat, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM). Oleh kerana sikap bertanggungjawab yang ditonjolkan serta keperluan kepada kepakaran dan sumbangan yang berkaitan, beliau dilantik sebagai Profesor kontrak sehingga awal tahun 2015bselepas bersara wajib pada Januari 2005. Datuk Ir. Dr. Ow Chee Sheng telah menghasilkan lebih dari 60 penerbitan di pelbagai jurnal, artikel dan prosiding yang diterbitkan bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara seperti London, China, Korea, Filipina, Thailand, Singapura dan banyak lagi. Beliau terlibat dalam pembentukan program baharu dan bertanggungjawab memastikan kurikulum yang dibentuk mendapat pengiktirafan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Penglibatan aktif beliau dalam Board of Engineers Malaysia (BEM) dan Engineering Accreditation Council (EAC) Malaysia, telah membangunkan subjek Pencegahan Kebakaran berteraskan keperluan industri berlandaskan acuan Washington Accord. Selain itu program-program baharu dibangunkan antaranya Program Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Program Diploma Lanjutan Kejuruteraan Mekanikal, Program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, dan Program Pascasiswazah. Sumbangan dan peranan ini telah membantu menempatkan UiTM sebagai sebuah universiti yang terulung dalam melahirkan jurutera yang holistik dan diterima pada peringkat antarabangsa.

Datuk Ir. Dr. Ow Chee Sheng telah memainkan peranan penting sebagai pemimpin yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat khusus dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Beliau merupakan ahli jawatankuasa Penulisan Piawai SIRIM bagi Perlindungan Kebakaran bersama Ketua Pengarah BOMBA, wakil dari Malaysian Medical Association (MMA), Association of Consulting Engineers Malaysia (ACEM), Institut Jurutera Malaysia (IEM), Institution of Fire Engineers (IFE) UK dan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM). Bersama American Society of Heating, Refrigerating and AirConditioning Engineers (ASHRAE) di Malaysia (MASHRAE), beliau menulis kertas cadangan kepada Program Alam sekitar Bangsa-bangsa bersatu (UNEP) bertajuk Recycling and Recovery of R11 and R12 from Chillers for Malaysia. Dengan kelulusan dana berjumlah RM800,000 kerja lapangan telah diusahakan bersama Jabatan Alam Sekitar, Malaysia. Ketika beliau berperanan sebagai Penasihat pertama FKM Shell ECO-Marathon and Solar Vehicle Challenge, Pasukan FKM telah menghantar Hydrogen Fuel Cell Powered Vehicle dan memenangi tempat pertama kategori Urban Design di Manila, Filipina (2014). Beliau juga merupakan Ketua Perunding kepada pihak YTL Sdn. Bhd. bagi Projek Jana Kuasa Pasir Bogak dan menjadi mentor kepada kakitangan akademik dan teknikal bagi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik. Sebagai seorang yang mempunyai semangat kerjasama yang tinggi, terbuka dan tidak jemu berkongsi ilmu telah membawa beliau untuk terus cemerlang. Penglibatan Datuk Ir. Dr. Ow Chee Sheng di pelbagai institusi dan pertubuhan sebagai pakar rujuk kejuruteraan dan pemimpin akademik yang dihormati telah menaikkan nama UiTM secara tidak langsung.

Beliau sangat aktif dalam berkongsi idea, pandangan dan menyumbang tenaga kepada IEM. Beliau telah terlibat dengan kerja sukarela IEM sejak 1984 dengan memegang pelbagai jawatan. Jawatan-jawatan yang disandang beliau bermula dengan Ahli Majlis (1985-1988), Bendahari Kehormat (1988- 1990), Naib Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penerbitan (1986-1988), Setiausaha Kehormat (1990-1992), Naib Yang DiPertua/ Naib Presiden (1993-1996), Naib Pengerusi Jawatankuasa Kerja Amalan Profesional (1988-1989), Penyunting Kehormat Terbitan IEM (1986-1987) dan Setiausaha Kehormat (1990-1992). Berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, beliau diamanahkan memegang jawatan Timbalan Yang DiPertua / Timbalan Presiden dalam membantu Presiden sebagai Ketua Ekskutif IEM dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kewangan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kewangan Institusi Jurutera Malaysia (2003-2005) seterusnya, dilantik sebagai Yang DiPertua / Presiden IEM selama dua tahun dan bertanggungjawab menerajui isu-isu berkepentingan kepada institusi dan negara. Atas sumbangan berimpak tinggi kepada IEM, beliau diiktiraf sebagai Felo Kehormat IEM.

Beliau pernah juga berperanan sebagai Pengerusi Komuniti Smoke/Ventilation Standard, SIRIM (2000-2005), Bahagian Teknikal Perkhidmatan Bangunan IEM (Building Services Technical Division), Komuniti Pusat Konvensyen, Bahagian Teknikal Kejuruteraan Mekanikal, Simulasi Kebakaran dan Asap, IJM Cooperation Berhad Putrajaya, Pengarah Penyelidikan and Pembangunan (R&D), Pengarah Perunding IEV Group International (2005), Pengarah dan Pengerusi Region XIII American Society of Heating, Refrigerating and Air-conditioning Engineers USA (ASHER) (2004-2007), ahli bersama bagi Persatuan Jurutera Mekanikal Amerika (2000-2003), Ahli ASHRAE (USA) (2007-2009), Honors and Awards Committee ASHRAE (USA) (2008/2009), Penilai Panduan Reka Bentuk untuk Iklim Lembab ASHRAE, Ahli Jawatankuasa Teknikal Sistem dan Komponen Air Boleh Diminum SIRIM (2009), Penilai Luar bagi kursus Heating, Ventilation and Air Conditioning (HVAC) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) (2009/2010), Felo ASHRAE, Ahli Institution of Fire Engineers (UK), American Society of Mechanical Engineers dan Society of Fire Protection Engineers USA (2020).

Minat dan komitmen Datuk Ir. Dr. Ow Chee Sheng kepada perkembangan penyelidikan telah mendorong beliau bekerjasama dengan pihak luar demi mempertingkat kualiti akademik serta pengiktirafan dunia luar terhadap UiTM. Hasil dan pencapaiannya dalam penyelidikan menghasilkan Paten: Marine Growth Preventer-WIPO Record for Inventors. Penyelidikan ini adalah kerjasama dengan pihak Syarikat IEV Group untuk menghasilkan Marine Growth Preventer, inovasi alat yang mesra alam untuk membersihkan paip di bawah aras laut yang diguna pakai oleh syarikat-syarikat besar di seluruh dunia. Beliau juga terlibat dengan penulisan mengenai Perisian Bebas Full Hydraulic Calculation of Sprinklers and Spray Systems for both Closed Loop and Open Loop System yang digunakan untuk reka bentuk Overhead AFFF Foam System di Hangar 02 MAS, Lapangan Terbang Subang serta Optimising Pipe Sizes for Gravity Feed From One Tank to Eight other Tanks Downstream at Various Platform Levels using a Relaxation Method. Beliau juga merupakan pakar runding bagi syarikat Hashim & Neh Sdn. Bhd dalam reka bentuk, penyeliaan dan pembinaan struktur kawalan kebakaran Aqueous Film Forming Foam (AFFF) di Hangar 02 & 03 Malaysia Airlines. Kerjasama yang sama juga dilakukan bersama-sama Muhibbah Engineering Sdn. Bhd. di Pusat Penyelenggaraan Enjin Malaysia Airlines. Seterusnya beliau bersama Unit Perundingan UiTM menjalankan perundingan kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan (M&E) untuk Projek di Resort Pasir Bogak, Pulau Pangkor bekerjasama dengan Syarikat IEV Group bagi tujuan Development of Marine Growth Preventer fasa 1 dan fasa 2.

Beliau telah terlibat secara aktif dengan organisasi ASHRAE sejak tahun 1990 lagi. Antara sumbangan lain beliau bersama ASHRAE ialah sebagai Jawatankuasa Kecil MBR / 2024 Sistem HVAC dan Peralatan serta Buku Panduan (2020-2024). Beliau merupakan Wakil Penyelidikan 3.0 (2020-2023) Jawatankuasa Pentadbiran Penyelidikan (2020-2023) dan pernah mempengerusikan Jawatankuasa Penerbitan (2019-2020) dan telah menjadi ahli Jawatankuasa Penerbitan sejak 2018. Beliau juga merupakan Board Elected Alternate Nominating Committee (2015), dan Nominating Committee (2012-2013), Jawatankuasa Anugerah dan Penghargaan (2008- 2009), Board Elected Alternate, Nominating Committee (2007-2009), Director and Regional Chair, Board of Directors (2004-2007), Non-Voting Member / Publications Chair of Publishing and Education Council (2015-2020), Ahli Jawatankuasa AdHoc Pembangunan Ekonomi (2014-2015), REGIONXIII /Director and Regional Chair, Members Council (2004-2007),Region Assistant Regional Chair, REGION XIII (2002-2008), Chapter President, Malaysia (2001-2002, 1999-2000, 1991-1993), Chapter Vice President (1995-1999), Chapter Delegate, Malaysia (1999-2000, 1991-1992), Assistant Regional Chair, ASHRAE Region XIII (2001), Regional Vice Chair for Research Promotion: Region XIII (1999).

Kecemerlangan beliau telah diperakui pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan pelbagai anugerah berprestij dan pengiktirafan di dalam dan luar negara berjaya diperoleh antaranya beliau diiktiraf kepakarannya apabila dilantik sebagai Felo The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) pada tahun 1995, Felo ASHRAE pada 2002 dan Felo Akademi Sains Malaysia pada April 2006. Beliau juga dianugerahkan Regional Award of Merit, ASHRAE pada tahun 2002, dan dianugerahkan pingat Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’ pada tahun 2006 serta Distinguished Service Award, ASHRAE pada tahun 2013. Setelah meninggalkan UiTM, beliau meneruskan minat dan usahanya bersama ASHRAE, USA. Antara penglibatannya adalah mempengerusikan Jawatankuasa Penerbitan dari Julai 2018 hingga Jun 2019. Kini berkhidmat sebagai ahli mengundi dalam Jawatankuasa Pentadbiran Penyelidikan yang mengagihkan sehingga 3 juta USD dana penyelidikan untuk cadangan penyelidikan HVAC baharu. Setiap cadangan Topik Penyelidikan untuk Penerimaan (RTAR) yang diterima dibiayai ehingga maksimum USD 250,000.

Dengan pencapaian yang cemerlang dan luar biasa, Universiti Teknologi MARA dengan penuh sukacita menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Yang Berbahagia Datuk Ir.Dr. Ow Chee Sheng di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke 95 pada 26 November 2022.

Sumber : Buku Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke 95