Pada November 1956, Bangunan Dewan Latehan RIDA telah didirikan di Jalan Othman, Petaling Jaya dengan kos RM297,000 di atas tanah seluas 5 ekar. Bangunan ini adalah hasil ilham oleh YB. Datuk Onn bin Ja’afar iaitu Pengerusi Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau di kenali dengan nama RIDA (Rural Industrial Development Authority). RIDA adalah sebuah agensi kerajaan, yang mempunyai matlamat untuk membina semula kehidupan masyarakat desa dan meninggikan taraf ekonomi mereka.

 

Tujuan penubuhan Dewan Latehan RIDA adalah untuk membantu penduduk luar bandar khasnya dan memberi peluang kepada pemuda dan pemudi Melayu yang mempunyai kecenderungan dalam bidang perniagaan dan perdagangan supaya mempunyai asas yang kukuh dalam pengurusan perniagaan atau perusahaan.

RIDA telah menubuhkan satu Unit Latihan yang diketuai oleh Pengetuanya yang pertama iaitu Tuan Syed Alwi bin Syeikh Alhadi. Di bawah unit inilah lahirnya Taman Asuhan RIDA (Kuala Lumpur) dan Dewan Latehan RIDA (Jalan Othman, Petaling Jaya). Dewan Latehan RIDA dengan rasminya dibuka pada 14 Februari 1957, oleh YB. Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman, Menteri Perdagangan dan Industri. RIDA pada masa itu adalah di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri.

Cogan Kata bagi Dewan Latehan RIDA ialah ‘Rebut Ilmu dan Amalkan’.

Sumber :

  1. Majlis Pelancaran Logo Sempena Perayaan 40 Tahun ITM (1956 – 1996)
  2. Shaping a Dream (1956 – 1999)
  3. Peristiwa-peristiwa Penting Institut Teknologi MARA 1956 - 1980