
Kampus pertama ini terletak di Kilometer 4, Jalan Genuang, iaitu kira-kira empat kilometer dari Bandar Segamat. Bagi menampung keperluan operasi awal, sebanyak 24 unit rumah teres dua tingkat, 12 unit rumah kedai tiga tingkat, tiga unit rumah kedai dua tingkat serta dua unit rumah berkembar dua tingkat telah disewa dan diubah suai untuk dijadikan asrama, bilik kuliah, pejabat serta kegunaan lain. Kampus sementara ini mampu menempatkan seramai 440 orang pelajar.
Walau bagaimanapun, kampus sementara di Bukit Siput tidak lagi mampu menampung pertambahan jumlah pelajar. Sehubungan itu, pada Ogos 1986, ITM Cawangan Johor yang terletak bertentangan dengan Taman Indah, Bukit Siput telah berpindah ke bangunan sementara di Segamat Baru.
Di kampus sementara Segamat Baru, jumlah pelajar telah meningkat kepada kira-kira 1,000 orang. Sebanyak 50 unit rumah kedai dua tingkat telah disewa oleh ITM dengan kadar sewaan RM32,500 sebulan pada ketika itu. Kapasiti maksimum bangunan tersebut ialah seramai 1,040 orang pelajar. Pembukaan kampus ITM Cawangan Johor di Segamat Baru ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Abd. Ajib Ahmad, Menteri Besar Johor pada ketika itu.