Radio UFM merupakan radio universiti pertama di Malaysia di bawah kelolaan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam. Menurut Datuk Fauzi Abdul Rahman, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan semasa merasmikan Pameran dan Seminar Antarabangsa Fotografi di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka ITM pada Mac 1995, beliau berkata, Radio Tiga Shah Alam yang selama ini menjadi media perhubungan dan hiburan kepada masyarakat sekitar negeri Selangor akan digantikan dengan Radio Tiga Institut Teknologi MARA atau Radio Tiga ITM.
Menurut beliau, kelulusan itu diberikan kepada Kajian Sebaran Am, ITM untuk mengendalikan siaran radio yang dibuka kepada orang ramai berdasarkan garis panduan yang ditetapkan kerajaan. ITM akan menggunakan peralatan sendiri termasuk pengendalian rancangan dan kakitangan serta pelajar Kajian Sebaran Am. Datuk Fauzi juga menyatakan bahawa ITM adalah Institut Pengajian Tinggi yang pertama diberikan lesen oleh Kementerian Penerangan untuk mengendalikan stesen radio kepada orang ramai. Dengan pengumuman ITM sebagai universiti oleh Y.A.B Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekali lagi berlaku pertukaran nama kepada Radio Malaysia Selangor siaran UiTM.
Bermula tahun 2000, Radio UiTM telah menggunakan nama TREK 936 sebagai nama stesen dan bersiaran selama 12 jam sehari. Rancangan berunsur informasi disajikan kepada pendengar di kawasan lingkungan Lembah Klang. Bermula dari tahun 2001, TREK 936 telah ditukarkan namanya kepada UFM sehingga kini.
UFM terus beroperasi dan menyajikan hiburan berinformasi kepada pendengar khasnya mahasiswa dan mahasiswi dan orang ramai amnya. UFM beroperasi dari jam 7.00 pagi hingga jam 7.00 malam setiap hari. Namun, bermula 1 April 2012, UFM telah memanjangkan tempoh ke udara daripada 7.00 pagi hingga 10.00 malam bagi hari bekerja dan 7.00 pagi hingga 7.00 malam bagi hari cuti dan cuti umum. Juruhebah UFM kebanyakannya terdiri dikalangan mahasiswa dan mahasiswi UiTM yang dipilih dari sesi ujibakat yang diadakan setiap tahun. Radio UFM boleh didengari sekitar Lembah Klang hingga meliputi Nilai, Negeri Sembilan di frekuensi 93.6 fm.
Bilik Berita UFM tahun 1999
Bilik Konti UFM tahun 1999
Sumber :
Berita ITM April 1995, hal. 18
Laman Web UFM
Koleksi Gambar Jabatan Arkib Universiti