Pengarah ITM menyampaikan potret ITM kepada YBhg. Tan Sri Dato' Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid sejurus merasmikan Seminar TQM

Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) telah diperkenalkan di ITM oleh Ir. Tuan Haji Ahmad Zaidee Haji Laidin, Pengarah ITM. Konsep ini diperkenalkan oleh beliau semenjak dilantik sebagai Pengarah ITM yang baharu pada 1 Januari 1994. Cetusan ini adalah daripada pengalaman beliau semasa mengetuai Unit T.Q.M di TNB yang berperanan besar di dalam menukarkan seluruh jentera dan imej LLN yang dahulunya sebuah agensi kerajaan kepada sebuah korporat gergasi di Malaysia. TQM atau Total Quality Management adalah satu pendekatan kepada kualiti yang bersistematik dan bersepadu. Ia melibatkan kerjasama dan penyertaan semua pekerja untuk mencapai matlamat dan visi organisasi.

Pada 15 hingga 16 September 1994, Kajian Perniagaan dan Pengurusan telah berjaya menganjurkan National Seminar on Total Quality Management in Institutions of Higher Learning. Seminar ini amat bermakna kerana TQM julung kali dibincangkan secara meluas dalam konteks institusi pendidikan tinggi. Dari maklumbalas yang diperolehi, peserta IPT lain amat yakin akan aplikasi TQM dan beberapa IPT lain telah mula melangkah ke arah penghayatan TQM dalam keseluruhan aspek di kampus. YBhg. Tan Sri Dato' Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Negara juga telah merasmikan pelancaran penubuhan pusat kualiti ITM. Pusat tersebut dinamakan Pusat Pendidikan Berkualiti Menyeluruh atau Centre for Total Quality Education. Untuk tujuan "positioning" dan promosi, pusat tersebut akan dikenali sebagai CTQE.

Pusat Pendidikan Berkualiti Menyeluruh (CTQE) ITM telah diluluskan penubuhannya di dalam Mesyuarat Majlis ITM pada 6 Ogos 1994. Tujuan penubuhan pusat ini ialah sebagai sekretariat untuk mempercepatkan pelaksanaan kualiti pendidikan di peringkat ITM. Pusat Pendidikan Berkualiti Menyeluruh (CTQE) diketuai oleh Dr. Adnan Alias, Pensyarah Utama Gred Khas sebagai Ketua Pusat dan dibantu oleh beberapa jurulatih. Pusat ini berpejabat di Pejabat Pengarah. Kakitangan yang bertugas di Pusat ini merupakan kakitangan yang dipinjam dari Kajian/Bahagian/Cawangan lain di ITM.

Dr. Adnan Alias, Penolong Pengarah Kualiti

 

Sumber :

  1. BERITA ITM 1994, Mac, Ogos & September