
Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan merupakan wadah utama menghimpunkan pelbagai pihak bagi memperkasa dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Program ini bertujuan merumus strategi serta menyatukan sokongan dalam mengukuhkan penggunaan Bahasa Melayu di semua peringkat, khususnya melalui kluster undang-undang, media massa, pendidikan tinggi, perpaduan dan jaminan masa depan. Universiti Teknologi MARA (UiTM) dipilih sebagai tuan rumah sulung memandangkan peranannya sebagai institusi dengan jumlah mahasiswa terbesar di Malaysia. Konvensyen ini menghimpunkan tokoh bahasa, ahli akademik, penggubal dasar, pemain industri dan penggiat budaya dari seluruh negara.



Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 9 Oktober 2025 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. Program ini mencerminkan kerjasama strategik antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Linguistik Malaysia (PLM). Antara inisiatif yang dirancang termasuk Dekad Bahasa Kebangsaan, Festival Bahasa dan Eksplorasi Jawi. Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu UiTM mengetuai penganjuran dengan kerjasama pelbagai bahagian universiti.





Mengiringi TPM di atas pentas (dari kiri): Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman (Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi), Dr. Hazami Jahari (Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato Dusuki (Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Sri Haji Khamil Jamil (Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti), Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi) dan Yang Berbahagia Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib (Naib Canselor UiTM).

Konvensyen ini turut membentangkan Ketetapan Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan hasil daripada program-program memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat UiTM dan telah dibentangkan oleh oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib@ Sahibuddin, FASc (Naib Canselor UiTM) iaitu :
- Ketetapan Pertama : Menubuhkan Lembaga Bahasa Kebangsaan (LBK) yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
- Ketetapan Kedua : Melantik Atase Bahasa Melayu bagi setiap Kedutaan di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.
- Ketetapan Ketiga : Menetapkan 80 Peratus Penggunaan Kandungan Formatif Bahasa Melayu yang tepat dan betul.
- Ketetapan Keempat :Memohon Pertimbangan Kementerian Pendidikan Tinggi Mewajibkan Penawaran Kursus Bahasa Melayu (Dengan Syarat Wajib Lulus Bergraduat) di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
- Ketetapan Kelima : Memberi Pengiktirafan Rasmi kepada Pakar Bahasa dan Linguistik Melayu yang yang membawa Gelaran Ikhtisas Linguist (Lg).
- Ketetapan Keenam : Mengangkat Tulisan Jawi dalam urusan rasmi di semua agensi kerajaan Persekutuan, Badan-badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Konvensyen ini juga memberi penghargaan kepada 6 orang tokoh bahasa berikut sebagai tanda penghormatan atas jasa mereka, sekali gus menyemarakkan semangat cinta bahasa, jati diri dan patriotisme dalam kalangan generasi muda.
- Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang bin Sariyan - Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM
- Yang Berbahagia Profesor Emeritus Datuk Nik Safiah binti Abdul Karim - Pakar bahasa dan gramatis bahasa Melayu dan Pengasas Persatuan Linguistik Malaysia
- Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar - Wanita pertama memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang Linguistik
- Yang Berbahagia Profesor Emeritus Datuk Teo Kok Siong - Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia dan pengkaji bidang Etnolinguistik; Antropologi Linguistik
- Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dr. Abdullah bin Hassan - Sarjana Linguistik dan Pakar bidang Linguistik
- Profesor Dr. Nor Hashimah binti Jalaluddin - Pakar bidang Semantik, Linguistik, Pragmatik dan Geolinguistik
