Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam dengan bangganya memperkenalkan Klinik Bantuan Guaman Fakulti Undang-Undang (KBG) yang telah dijenamakan semula daripada Pusat Perundingan dan Nasihat Perundangan (Legal Consultation Centre – LCC). Penjenamaan baharu ini menandakan komitmen fakulti dalam memperkukuh peranan universiti sebagai pusat ilmu yang bukan sahaja menyalurkan pendidikan, tetapi juga berbakti kepada masyarakat. Majlis Pelancaran Klinik Bantuan Guaman Fakulti Undang-Undang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM pada 18 September 2023.
Klinik Bantuan Guaman UiTM berperanan sebagai pusat khidmat nasihat undang-undang secara percuma kepada warga UiTM dan masyarakat awam. Ia dikendalikan oleh barisan pensyarah berpengalaman dari Fakulti Undang-Undang bersama pelajar tahun akhir yang turut terlibat sebagai sebahagian daripada latihan praktikal mereka.
Selaras dengan visi UiTM untuk memperkasa ilmu dan kepakaran melalui penglibatan aktif dalam khidmat masyarakat, KBG menjadi platform penting untuk menghubungkan dunia akademik dengan keperluan sebenar komuniti. Melalui usaha ini, fakulti menyasarkan untuk berkongsi kepakaran dalam membantu masyarakat setempat yang berdepan persoalan undang-undang.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk nasihat berkaitan undang-undang keluarga, urus niaga hartanah, pentadbiran harta pusaka dan pelbagai bidang perundangan lain berdasarkan kepakaran perunding yang terlibat. Dengan penubuhan klinik guaman ini, Fakulti Undang-Undang UiTM terus melangkah ke hadapan sebagai fakulti yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti tinggi, tetapi juga memupuk semangat prihatin terhadap keadilan sosial dan kesejahteraan masyarakat.
Menerusi ucapan Naib Canselor UiTM, penubuhan Klinik Bantuan Guaman merupakan satu detik bersejarah yang akan terpahat sebagai peristiwa penting dalam perjalanan universiti ini — satu manifestasi komitmen UiTM kepada rakyat Malaysia. Penubuhan Klinik Bantuan Guaman ini bukan sekadar menambah satu lagi institusi di bawah UiTM, tetapi lebih daripada itu, ia mencerminkan semangat tanggungjawab sosial, empati dan keterangkuman yang menjadi nadi kepada etos universiti ini. Ia adalah lambang komitmen UiTM untuk terus membantu masyarakat yang memerlukan, memperkasakan mereka melalui ilmu, keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Klinik ini menjadi jambatan penting yang menghubungkan dunia akademik dengan realiti kehidupan masyarakat. Di sinilah kepakaran perundangan UiTM diterjemahkan kepada tindakan — membantu menyelesaikan cabaran sebenar yang dihadapi rakyat, dan memastikan bahawa keadilan bukan hak eksklusif segelintir pihak, tetapi sesuatu yang boleh dicapai oleh semua.
Melalui inisiatif ini, UiTM membuka seluas-luasnya gedung ilmu kepada masyarakat, menyediakan bantuan undang-undang percuma dan memperkukuh tekad kami untuk menjadi institusi yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga membela dan menyantuni.
Lebih daripada itu, Klinik Bantuan Guaman ini memberi peluang kepada para pelajar Fakulti Undang-Undang untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di luar bilik kuliah — satu pengalaman bermakna yang menanam nilai khidmat pro-bono dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial sebagai pengamal undang-undang masa hadapan.
Beliau berharap agar Klinik Bantuan Guaman Fakulti Undang-Undang UiTM akan terus menjadi wadah yang memberi impak besar kepada masyarakat, memanfaatkan kepakaran para pensyarah dan pelajar, serta memperkukuh legasi universiti dalam menegakkan prinsip keadilan, kesaksamaan dan belas kasihan.
Semoga Klinik Bantuan Guaman ini menjadi langkah bermakna dalam usaha berterusan UiTM untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara — dengan ilmu, dengan amanah, dan dengan hati yang ikhlas. Fakulti Undang - Undang telah memainkan peranan besar sejak penubuhannya pada Jun 1968. Hayati perjalanan panjang fakulti ini yang dahulunya dikenali sebagai Kajian Pentadbiran dan Undang-Undang.
Sumber : Teks Ucapan Perasmian Majlis Pelancaran Klinik Bantuan Guaman Fakulti Undang-Undang. Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM Shah Alam