Majlis Peluncuran Festival of Idea@Perak Tahun 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, dan berlangsung di Dewan Ibnu Al-Khatib, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Program ini dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan dijayakan dengan kerjasama semua IPTA dan IPTS seluruh negeri Perak.

Interaktif elemen AI dengan Pembantu Maya Inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi bersama YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri semasa Majlis Peluncuran Program Festival of IDEAS Peringkat Negeri Perak.
Ucapan aluan oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.
Ucapan Perasmian oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.

Menerusi ucapan YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Festival Idea Perak 2025 menjadi pentas inspirasi bagi generasi muda, penyelidik dan pencipta untuk melakar masa depan bersama. Dari bumi Perak yang bersejarah ini, ilham dan ilmu berpadu dalam semangat keberanian berfikir — menjadikan idea sebagai kompas kemajuan bangsa. Seperti Baitul Hikmah moden, festival ini mengangkat nadi pemikiran dan kreativiti anak Malaysia ke peringkat global.

YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kekayaan sebenar negeri ini bukan hanya pada hasil buminya, tetapi pada sumber minda rakyatnya. Dengan ekosistem ilmu yang kukuh serta inisiatif seperti PASAK, generasi baharu diperkasa agar berani mencipta dan berinovasi. Kejayaan seperti Carsome dan ALPS Global Holding membuktikan bahawa idea kecil mampu berkembang menjadi kejayaan besar bertaraf dunia.

Dari Putrajaya ke Seri Iskandar, Festival Idea melangkaui acara tahunan — ia adalah gerakan nasional yang menyalakan Gelombang Idea Malaysia. Dengan semangat berfikir tanpa batas, bertindak tanpa gentar, dan mencipta tanpa henti, Malaysia kini berdiri sebagai tanah idea, tanah inovasi, dan tanah masa depan.

Peluncuran naskhah Bakti dan Budi : Kasih Disemai, Harapan Dituai, Jiwa Sukarelawan Abadi oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.
YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) menandatangani plak Majlis Institusi Pendidikan Tinggi Negeri Perak.

Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang festival ini, termasuk siri forum perbincangan, pembentangan, bengkel serta peluang kolaborasi antara pelajar dan pakar industri. Program ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman secara langsung daripada pakar industri, berinteraksi dengan individu yang berkongsi minat dalam bidang industri kreatif, serta memperoleh pengetahuan dan sumber bernilai bagi memperkukuh inisiatif keusahawanan kreatif mereka.

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dengan syarikat tempatan dan antarabangsa.

Turut diadakan dalam majlis ini ialah majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dengan beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa serta MERCY Malaysia, menandakan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan strategik antara akademia dan industri.

Rakan Usaha Sama bagi penganjuran festival ini terdiri daripada:

  1. Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak

  2. Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN)

  3. Tourism Perak

  4. Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT)

  5. Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

  6. Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM)

  7. Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (FSKIK, UPSI)

  8. Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)

  9. People of Remarkable Talents (PORT)

Rakan Usaha Sama (Indonesia) pula terdiri daripada:

  • Humanika Art Space

  • Pensil Desain, Indonesia

  • Kriya Desain, Indonesia

Dari kiri : Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman (Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi),Yang Berbahagia Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib (Naib Canselor UiTM), YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) dan Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi).

Antara aktiviti utama yang dijalankan sepanjang festival ini ialah Special Appearance AIMI, GroundWave Persembahan Nyanyian (Local & Indie Bands), International WoodArt & Furniture Design, Industry Forum, Persembahan Kebudayaan, Skateboard Competition, Pocket Events, Creative Preneur Market, Workshop & Competition, E-Sport@Community, Academic Forum, Food Bazaar & Trucks, Fun Ride & Run, serta Autoshow.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis ini ialah Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Orang Besar Jajahan Perak Tengah, YDH Toh Seri Bijaya Leftenen Kolonel Dato' Shaharudin Haji Nazari, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, YBhg. Encik Khairudin Haji Abu Hanipah, serta barisan Yang Dipertua Majlis Daerah, Ketua Pejabat Pendidikan Daerah, Pengurusan Tertinggi KPT dan Jabatan Pengajian Tinggi, Ketua Penyelaras Konsep dan Pengisian Festival Idea Putrajaya, Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi, dan Pengurusan Tertinggi IPTA serta IPTS seluruh negara.

Pameran reruai di Dewan Ibnu Al-Khatib, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.

Sumber : Teks Ucapan Majlis Peluncuran Program Festival of IDEAS Peringkat Negeri Perak. Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM Shah Alam.