Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraikan semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap alma mater menerusi Perhimpunan Alumni sempena Hari Alumni UiTM 2024 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pada 19 Disember 2024. Acara ini menjadi penutup simbolik kepada sambutan 25 tahun UiTM diisytiharkan sebagai sebuah universiti.

Perhimpunan ini mencatat sejarah tersendiri dengan menghimpunkan alumni dari pelbagai era, termasuk Dewan Latehan RIDA (DLR), Maktab MARA, dan Institut Teknologi MARA (ITM). Ia bertujuan memperkukuh ikatan persaudaraan dalam kalangan alumni serta memperingati sumbangan besar mereka terhadap pembangunan universiti dan kemajuan negara.

Ucaptama YB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi) disampaikan oleh Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi

Majlis ini diserikan dengan ucaptama oleh Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, yang menyeru alumni untuk terus menyokong alma mater secara proaktif.

“Sinergi kukuh serta komitmen tinggi daripada alumni amat penting bagi memastikan sektor pendidikan tinggi terus mencapai kegemilangan. Alumni bukan sekadar lepasan universiti; Tuan-Tuan dan Puan-Puan adalah duta ilmu, pemimpin perubahan, dan penggerak agenda kemajuan negara,” tegas beliau.

Ucapan Alu-aluan oleh YBhg. Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin, FASC (Naib Canselor UiTM)

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, dalam ucapannya menekankan peranan penting alumni dalam memastikan UiTM terus relevan dan berjaya.

“Sumbangan kewangan, kepakaran, serta keprihatinan alumni UiTM pasti memberi impak mendalam kepada alma mater. Dengan semangat kebersamaan ini, kita akan memastikan masa depan generasi seterusnya terus terbela,” katanya.

Forum Alumni Penggerak Transformasi Negara

Hari Alumni 2024 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk forum bertajuk “Alumni Penggerak Transformasi Negara” yang menampilkan empat panelis ternama dalam kalangan alumni UiTM, iaitu Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin (Naib Canselor UiTM), Datuk Mohd Syafiq Hj. Abdullah (Pengasas & Pengarah Urusan Kumpulan VFive), TPr. Ts. Norliza Hashim (Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia) dan Datuk Hisham Hamdan (Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah Nasional Berhad). Majlis ini juga menyaksikan peluncuran dua buah buku istimewa yang mencerminkan warisan serta pencapaian warga UiTM. Buku Wajah Alumni Citra Bitara menampilkan 25 alumni terpilih daripada setiap fakulti dan cawangan UiTM seluruh Malaysia, manakala Cherita Alumni DLR: Sharing Legacies menghimpunkan kisah-kisah inspirasi bekas pelajar Dewan Latehan RIDA dari tahun 1956 hingga 1964.

Peluncuran dua naskhah istimewa Wajah Alumni Citra Bitara dan Cherita Alumni DLR: Sharing Legacies.
Peluncuran dua buah buku istimewa yang mencerminkan warisan serta pencapaian warga UiTM. Buku Wajah Alumni Citra Bitara dan Cherita Alumni DLR: Sharing Legacies oleh Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi.
Jemputan alumni ITM menerima cenderamata naskhah buku Wajah Alumni Citra Bitara.
Lafaz Ikrar Alumni UiTM diketuai oleh Presiden Persekutuan Alumni UITM Malaysia.

Sebagai simbolik kebersamaan, para alumni yang hadir melafazkan ikrar khas bagi memperkukuh sokongan terhadap UiTM, sambil mengenakan pakaian berwarna ungu sebagai tanda cinta dan kebanggaan terhadap alma mater mereka. Majlis ini sekali lagi membuktikan keunikan UiTM sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan profesional bumiputera terkemuka, tetapi juga menyatukan komuniti alumni untuk sama-sama menggerakkan transformasi negara.

Sumber : UiTM Raikan Semangat Kebersamaan Alumni Sempena Hari Alumni 2024