Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melakar sejarah gemilang apabila meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-60 pada 14 Oktober 2016, bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.



Majlis gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap UiTM yang selama enam dekad kekal kukuh mengangkat martabat bangsa serta berperanan besar mengubah nasib kaum Melayu dan bumiputera melalui pemindahan ilmu serta peluang pendidikan.

UiTM yang asalnya ditubuhkan sebagai Dewan Latehan RIDA pada tahun 1956, merupakan cetusan idea Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan matlamat utama untuk memperkasa anak bangsa melalui pendidikan dan latihan. Institusi ini kemudiannya berkembang menjadi Maktab MARA (1965), Institut Teknologi MARA (ITM) (1967), dan akhirnya dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 26 Ogos 1999, hasil iltizam dan sokongan padu YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu.

Bertemakan “Melonjak UiTM di Persada Global”, majlis kemuncak sambutan ulang tahun ke-60 ini turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik, antaranya Pameran UiTM Sepanjang Zaman, penganugerahan Ikon Alumni, serta pelancaran Tabung Dana Keusahawanan.

UiTM terus menabur bakti sebagai wadah pembangunan ilmu, menjana tenaga profesional, dan menyumbang secara berterusan kepada kemajuan negara. Selama enam dekad, UiTM telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh keseimbangan sosioekonomi masyarakat, khususnya kaum Melayu dan bumiputera, selaras dengan aspirasi negara untuk menuju kemajuan yang inklusif dan berdaya saing.



Sempena sambutan Ulang Tahun ke-60 UiTM, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dengan kerjasama Jabatan Arkib Universiti telah menganjurkan Pameran 60 Tahun UiTM yang berlangsung dari 14 Oktober hingga 31 Disember 2016 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC). Pameran yang diadakan buat julung kalinya ini menelusuri perjalanan panjang sejarah dan evolusi UiTM sejak penubuhannya.

Antara segmen utama yang diketengahkan dalam pameran ini termasuklah Sejarah Penubuhan UiTM, Penubuhan Dewan Latehan RIDA, Maktab MARA, Institut Teknologi MARA sehingga ke Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profil dan Evolusi UiTM, Tadbir Urus Universiti, Perkembangan Akademik, Perkembangan Pelajar, Kecemerlangan Universiti, Jaringan Industri dan Antarabangsa, serta Alumni UiTM.
Pameran ini bukan sahaja memperlihatkan perjalanan UiTM sebagai institusi pendidikan unggul yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara, malah turut menjadi wadah penghargaan terhadap segala pencapaian, usaha, dan dedikasi warga universiti sepanjang enam dekad penubuhannya.
UiTM berbangga dengan pencapaian hebat institusi keramat ini yang diterjemahkan dalam dokumentari Sambutan 60 tahun UiTM.