Unit Rekod dan Arkib di bawah pengurusan Pejabat Pendaftar

 

Perasmian Bahagian Arkib dan Muzium oleh YBhg. Mantan Naib Canselor UiTM

Bangunan Bahagian Arkib Universiti, PTAR di Kompleks Kenanga, UiTM Shah Alam

YBhg. Datuk Naib Canselor pada Majlis Perasmian Bangunan Jabatan Arkib Universiti

 

Jabatan Arkib Universiti (JAU) mula ditubuhkan pada 2 Januari 1982 di bawah Bahagian Pentadbiran, Pejabat Pendaftar yang ketika itu dikenali sebagai Unit Arkib semasa diterajui oleh Dato’ Nik Abdul Rashid bin Nik Abdul Majid, Pengarah ITM Ke 10 dan merupakan Pusat Pengajian Tinggi yang pertama di Malaysia menubuhkan Unit Arkibnya sendiri. Pada 2 Januari 1986, unit ini telah dinamakan sebagai Unit Rekod dan Arkib hasil daripada perluasan fungsi dan peranannya dalam hal ehwal pengurusan rekod di ITM.

Peranan dan fungsi Unit Rekod dan Arkib telah berkembang dengan penambahan fungsi muzium melalui penstrukturan semula UiTM pada 8 Mei 2000. Seterusnya unit ini telah dinamakan sebagai Bahagian Arkib dan Muzium (BAM) dan telah dirasmikan oleh mantan Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah pada 17 April 2003.

Pada 1 Jun 2015, Bahagian Arkib yang ketika itu masih di bawah naungan Pejabat Pendaftar telah diserahkan kepada Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dalam Mesyuarat JKE Bil 06/ 2015 dan dinamakan sebagai Jabatan Arkib Universiti (JAU) melalui Mesyuarat MEU Bil. 5/2016 pada 1 Mac 2016.

Pada 15 Oktober 2018, Jabatan Arkib Universiti yang dahulunya terletak di Bangunan Dewan Seri Budiman telah berpindah ke lokasi baharu iaitu di Dewan Makan Kolej Kenanga yang dinaiktaraf kepada bangunan Jabatan Arkib Universiti. Bangunan dua tingkat ini menempatkan rekod-rekod penting UiTM yang bernilai arkib dan boleh dirujuk oleh warga UiTM.

Jabatan Arkib Universiti telah mengorak langkah ke arah pendigitalan melalui penggunaan Archive Management System (AMS) dan Online Finding Archive (OFA) yang telah digunakan sepenuhnya pada Januari 2020. Kedua-dua sistem ini berfungsi bagi menguruskan bahan-bahan arkib secara digital dan ia dibangunkan melalui kepakaran dalaman Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR).

Ketampakan Jabatan Arkib Universiti terserlah dengan perasmian bangunannya oleh YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM pada 25 Mei 2022.

Seiring dengan usaha UiTM untuk terus meningkatkan keberkesanan dan kecekapan organisasi, UiTM telah memutuskan untuk melaksanakan penstrukturan semula carta organisasi. Penstrukturan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik untuk menyelaraskan struktur organisasi dengan visi dan misi universiti serta memperbaiki aliran komunikasi dan proses kerja dalam organisasi. Antaranya adalah penjenamaan semula Jabatan Arkib Universiti kepada Bahagian Arkib Universiti menerusi Pekeliling Naib Canselor Bil. 07 / 2024: Penstrukturan Carta Organisasi Universiti Teknologi MARA & Istilah-Istilah berkuat kuasa pada 1 Ogos 2024.

Terkini menerusi Pekeliling Ketua Pustakawan Bilangan 2 Tahun 2025 berkenaan Penstrukturan Carta Organisasi Jabatan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) memaklumkan naik taraf jawatan Pengarah Bahagian Arkib Universiti iaitu daripada Timbalan Ketua Pustakawan Kanan (S13) kepada Ketua Timbalan Pustakawan (S14). 

Layari sejarah serta evolusi di pautan bangunan Bahagian Arkib Universiti serta di laman web Bahagian Arkib Universiti untuk perkembangan lanjut di https://archive.uitm.edu.my/