Tan Sri Dato' Sri Profesor Ir. Dr. Sahol Hamid bin Abu Bakar dilantik Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) menggantikan Tan Sri Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim bin Abu Shah yang tamat tempoh pada 31 Disember 2009. Pelantikan beliau berkuatkuasa 1 Januari 2010 hingga 31 Disember 2015.
Tan Sri Dato' Sri Profesor Ir. Dr. Sahol Hamid bin Abu Bakar dilahirkan di Pulau Pinang pada 9 Januari 1952. Pada tahun 1976, beliau menamatkan Diploma Lanjutan dalam bidang Kejuruteraan Awam di Institut Teknologi MARA (ITM). Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Colorado State University (CSU), Amerika Syarikat dibawah Skim Pensyarah Muda ITM dan memperolehi Ijazah Sarjana Sains serentak iaitu MSc. Kejuruteraan Awam dan MSc. Ekonomi dari CSU. Pada tahun 1991, beliau dilantik sebagai Profesor Pelawat di Purdue University, USA. Tahun berikutnya, beliau memperoleh D.Phil dalam Kejuruteraan Awam dari University of Sussex, UK. Pada 18 November 2011, beliau menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan dari Universiti Stuttgart, Jerman. Beliau menjadi orang Asia dan rakyat Malaysia pertama menerima ijazah itu dan dilantik sebagai Profesor Kejuruteraan Sivil (Kursus Kejuruteraan Sumber Air dan Pengurusan) di universiti tersebut.
Beliau telah merancang dan melaksanakan satu projek komuniti yang diberi nama Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), yang membolehkan anak-anak yatim dan anak-anak miskin lepasan sekolah Melayu dan Bumiputera untuk meneruskan pengajian di peringkat Pra-Diploma di UiTM. Beliau merupakan Alumni Kedua UiTM yang menjawat jawatan Naib Canselor. Sumbangan dan jasa beliau amat bernilai dan dihargai oleh semua warga UiTM.
Rujukan
1. Fail Peribadi Pelajar
2. Tan Sri Dato' Sri Profesor Ir. Dr. Sahol Hamid bin Abu Bakar
3. Mencorak Destini – Edisi Kedua