Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim bin Abu Shah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) menggantikan YBhg. Dato’ Ir Dr. Ahmad Zaidee bin Laidin yang tamat tempoh pada  31 Disember 2000. Pelantikan beliau berkuatkuasa 1 Januari 2001 hingga 31 Disember 2009. Beliau merupakan Alumni UiTM pertama menjawat jawatan Naib Canselor UiTM. Penglibatan beliau dalam aktiviti sosial juga terserlah apabila menjadi pengasas dalam Pasukan Simpanan Tentera Darat sebagai Ketua Bahagian Latihan ROTU, ITM Shah Alam pada tahun 1979-1982 dan Komandan (Assistant Commisioner of Police-ACP) Kor Suksis UiTM.

Beliau dilahirkan pada 31 Disember 1948 di Melaka dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulai, Melaka. Kemudian beliau meneruskan pengajian dalam Diploma Pentadbiran Awam (ITM) 1971, B.A. Economics (Ohio) 1974, M.A. Sociology (Ohio) 1975  dan Ph.D Government and Politics (Maryland) pada tahun 1997. Pengalaman dan sumbangan beliau dalam bidang akademik dan pentadbiran tidak ternilai harganya. Bermula sebagai Pensyarah di Kajian Pentadbiran & Undang-Undang (1975-1981), beliau dinaikkan pangkat sebagai Pensyarah Kanan (1981-1991), Pensyarah Utama (1991-1993), Adjunct Professor, University Ohio (1995), Profesor Fakulti Pentadbiran & Undang-Undang (1994-2004) dan Profesor Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (2004-2009).

Dalam bidang pentadbiran pula, beliau pernah menjadi Pegawai Eksekutif Bahagian Pentadbiran, Perbendaharaan Malaysia, Kuala Lumpur (1971-1972), Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, ITM Shah Alam (1976-1982), Dekan Hal Ehwal Pelajar, ITM Shah Alam (1982), Provos ITM Sarawak (1989-1995), Timbalan Rektor (Pengurusan) ITM (1995- 1998), Timbalan Naib Canselor (Akademik) UiTM (1998-2000) dan Naib Canselor UiTM (2001-2009). Selain pelbagai anugerah yang diterima pada peringkat nasional, jasa dan sumbangan beliau turut diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Antara anugerah tersebut ialah ”Global Human Resource Excellence Award” (Outstanding Contribution to the Field or HR & Training)-World HRD Congress 2006, The Asia HRD Congress 2007 Award (Outstanding Contribution to the Field of Human Resource Development, Outstanding American Alumnus Award 2007 dan Malaysian Business Leadership Award 2009. Tugas terkini YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Prof. Dr. Ibrahim bin Abu Shah adalah sebagai Senator Dewan Negara dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

 

Rujukan

1. Kolokium Pelajar, Projek Khas FBP 2010