Datuk Prof. Ir Haji Ahmad Zaidee bin Laidin dilantik sebagai Pengarah Institut Teknologi MARA (ITM) menggantikan Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Mansor bin Haji Salleh yang tamat tempoh pada  31 Disember 1993. Pelantikan beliau berkuatkuasa 1 Januari 1994 hingga 31 Disember 2000. 

Sumbangan beliau kepada pembangunan dan perkembangan UiTM tidak dapat dinafikan lagi dengan pembukaan kampus baharu di Pulau Pinang (1996), Kedah (1997) dan Negeri Sembilan (1999). Selain itu, tarikh 26 Ogos 1999 merupakan detik paling bermakna buat beliau dan warga Institut Teknologi MARA (ITM) apabila Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan ITM kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Stadium Melawati, Shah Alam Selangor. 

Beliau dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak pada 1 April 1943. Beliau memperolehi Diploma Kejuruteraan Elektrik, Brighton College of Technology, United Kingdom (1966), MSc. Teknologi Ekonomi (Pengurusan dan Sains Industri), Universiti Stirling, Scotland (1974), Doktor Kehormat Teknologi, Oxford Brookes University (1996), Doktor Falsafah University Stirling, Scotland (1996), Profesor Kehormat Universiti Napier (1999). Pengalaman beliau dalam bidang kerjaya bermula pada tahun 1967 bersama Lembaga Letrik Negara (kini Tenaga Nasional Berhad), Timbalan Pengurus Besar Khidmat Korporat (1990-1993). Selepas berkhidmat di ITM/UiTM sebagai Naib Canselor (1994-2000), beliau dilantik sebagai Pengerusi SIRIM (2001-2004), Pengerusi Intelectual Property Corporation of Malaysia (2005-2007). YBhg. Tan Sri Dato’ Academician Ir Dr. Ahmad Zaidee bin Laidin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM pada 6 Jun 2015.

 

Rujukan

1. Shaping a Dream (1956-1999)

2. Buletin Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) 26 ogos 2009