Pada 11 Januari 1951, Dato Onn Ja’afar, Pengerusi pertama Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) bersama Dato Abdul Razak, Ahli Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu telah berlepas dari Lapangan Terbang Kallang, Singapura ke Ceylon, Colombo (sekarang Sri Lanka). Lawatan sambil belajar selama 9 hari ini bertujuan untuk mengkaji Program Pembangunan Luar Bandar di negara tersebut. Ekoran dari lawatan itu, satu kertas kerja (Paper No. 10 of 1951) telah dibentangkan kepada Majlis Lembaga Persekutuan. Kandungan kertas kerja tersebut telah mengasaskan penubuhan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau lebih dikenali dengan RIDA (Rural Industrial Development Authority). Majlis Perundangan Persekutuan Tanah melayu telah meluluskan “Federation of Malaya No 48 of 1953, The Rural And Industrial Development Authority Ordinance, 1953.
Ordinan ini telah digubal pada 1953 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 1954. Kewajipan RIDA seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 4, Sub-seksyen 1 ordinan ini, adalah menjadi kewajipan pihak berkuasa untuk merangsang, memudahkan dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial dalam Persekutuan dan lebih khusus lagi di kawasan luar bandar. Sebelum penubuhan Dewan Latehan RIDA lagi, Rural Industrial Development Authority (RIDA) telah menaja 23 orang pelajar yang terpilih mengikuti kursus persediaan bagi menduduki peperiksaan London Chamber of Commerce (LCC) Intermediate Examination di Institut Goon, Kuala Lumpur.
Bangunan Dewan Latehan RIDA
Pada November 1956, Bangunan Dewan Latehan RIDA telah didirikan di Jalan Othman, Petaling Jaya di atas tanah seluas 5 ekar. Bangunan ini adalah hasil ilham oleh YAB Datuk Onn bin Ja'afar iaitu Pengerusi Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau di kenali dengan nama RIDA (Rural and Industrial Development Authority) yang mempunyai matlamat untuk membina semula kehidupan masyarakat desa dan meninggikan taraf ekonomi mereka.
Perasmian Dewan Latehan RIDA
YAB Dr Ismail bin Dato' Abdul Rahman, Menteri Perdagangan dan Industri berucap pada majlis perasmian Dewan Latehan RIDA, Petaling Jaya pada 14 Februari 1957.
Meletakkan Asas (1957-1966), mengisahkan perkara-perkara penting dalam sejarah Universiti apabila ia bermula sebagai Dewan Latehan RIDA pada tahun 1956 kepada Kolej Pengajian Perniagaan dan Profesional MARA (Maktab MARA) yang lebih bercita-cita tinggi pada tahun 1965, sebelum ia menjadi Institut Teknologi MARA. Penceritaan di sini membentangkan bagaimana UiTM, sebagai Dewan Latehan RIDA dan Maktab MARA bagi tahun 1956 hingga 1966, ditubuhkan untuk memberi latihan kepada orang Melayu luar bandar dalam bidang penting untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka. Kes pembangunan luar bandar - pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar - akan ditangani dengan membentangkan peristiwa penting negara yang menjejaskan pertumbuhan dan pembangunan Universiti. Peristiwa-peristiwa tersebut ialah: penggubalan dan pelaksanaan Draf Rancangan Pembangunan 1950 hingga 1955, Hari Kemerdekaan pada tahun 1957, tinjauan Tenaga Manusia Februari hingga Mei 1965, Kongres Ekonomi Orang Asal Jun 1965, pemerbadanan Akta MARA ke dalam Ordinan pada Disember 1965, dan penggubalan Rancangan Malaysia Pertama 1966 hingga 1970. Dokumentasi ini meletakkan asas kepada kerelevanan kewujudan Universiti di negara ini. Rancangan yang memainkan peranan penting dalam tempoh sepuluh tahun di sini ialah: Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) dan Rancangan Malaya Kedua (1961-1965). Rancangan ini adalah lanjutan dan susulan daripada Draf Rancangan Pembangunan 1950 - 1955, yang merupakan satu-satunya Rancangan yang bertempoh enam tahun.
Rujukan
- Documenting A Destiny (1956-2006 )
- Shaping a Dream (1956-1999)