Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Pentadbir UiTM (APU) 2024 anjuran Jabatan Pendaftar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam pada 15 Oktober 2025. Majlis ini diraikan dalam suasana penuh penghormatan dan kebanggaan terhadap warga universiti yang menunjukkan kecemerlangan dan dedikasi luar biasa dalam perkhidmatan.

Jemputan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Pentadbir UiTM (APU) 2024 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam

Seawal jam 7.30 pagi, tetamu kehormat mula tiba dan disambut dengan sesi pendaftaran sebelum majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM, diikuti bacaan ayat suci Al-Quran serta doa pembuka majlis. Ucapan aluan disampaikan oleh Tuan Haji Muhamad Nizam Noordin, Pendaftar UiTM diikuti ucapan perasmian oleh YBhg. Datuk Mustaffa Kamil Ayub, Ahli Lembaga Pengarah Universiti. 

Ucapan Aluan oleh Tuan Haji Muhamad Nizam Noordin, Pendaftar UiTM
Ucapan perasmian oleh YBhg. Datuk Mustaffa Kamil Ayub, Ahli Lembaga Pengarah Universiti. 
YBhg. Datuk Mustaffa Kamil Ayub, Ahli Lembaga Pengarah Universiti (tengah) menandatangani plak wau berukiran kayu untuk sesi perasmian majlis.

Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada 8 penerima utama termasuk ketua-ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan penerima khas wakil waris kepada Allahyarham Hamdan bin Sulaiman serta Allahyarhamah Hanizah binti Said, sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti yang telah dicurahkan.

YBrs. Prof. Dr. Yamin Yasin, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa mendahului senarai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024.
Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ketua- Ketua PTJ 2024

Senarai Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ketua- Ketua PTJ seperti berikut : 

  1. YBrs. Prof. Dr. Yamin Yasin - Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa
  2. YBrs. Prof. Dr. Haslinda binti Yusoff - (Mantan Dekan Fakulti Perakaunan) - Penolong Naib Canselor Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) 
  3. YBrs. Prof. Dr. Hajah Nor Hayati Saad - Penolong Naib Canselor (Strategi)
  4. YBrs. Prof. Madya Dr. Raja Mohammed Firhad bin Raja Azidin - Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi
  5. YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Roslinda Alias - Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU
  6. YBhg. Prof. Datin Dr. Suzana binti Sulaiman, J.M.N - (Mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa)
  7. YBhg. Prof. Datuk Dr Mizan bin Hitam - Mantan Penolong Naib Canselor Institut Kepimpinan Dan Pembangunan (ILD)
  8. YBrs. Prof. Dr Azizah bin Abdullah - Mantan Penolong Naib Canselor (InQKA)

Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kemudiannya diteruskan kepada 803 orang penerima daripada pelbagai jabatan, fakulti dan institut, membuktikan keutuhan komitmen serta kecemerlangan warga UiTM dalam mendukung misi universiti sebagai institusi unggul pendidikan tinggi negara. Sesi persembahan dan jamuan turut memeriahkan suasana majlis sambil para penerima diraikan dalam suasana penuh harmoni dan mesra.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan Anugerah Khas Persatuan Pentadbir UiTM (PPUiTM) bagi menghargai sumbangan istimewa dalam kategori Permata Gemilang, Setia Bakti dan Kencana. Tayangan Teaser Anugerah Pentadbir UiTM (APU) membuka tirai bagi sesi penyampaian anugerah seterusnya yang menampilkan kecemerlangan para pentadbir universiti dalam pelbagai kategori.

Seramai 38 orang penerima diraikan menerusi pelbagai kategori seperti Anugerah Pentadbir Kreatif & Inovatif, Khidmat Komuniti, Sukan & Rekreasi, serta Tadbir Urus Inovatif, meliputi kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan serta profesional. Antara anugerah utama yang menjadi tumpuan ialah Anugerah Pentadbir Harapan, Anugerah Pentadbir Pelaksana Terbaik, Anugerah Pentadbir Terbilang, serta Anugerah Tokoh Pentadbir, yang mengiktiraf kepimpinan, integriti dan sumbangan luar biasa kepada universiti.

Majlis yang berakhir sekitar jam 1.00 tengah hari diakhiri dengan sesi fotografi kenangan bersama para penerima dan tetamu kehormat. Keseluruhannya, acara ini bukan sekadar penghargaan, tetapi juga satu manifestasi kepada nilai integriti, profesionalisme dan kecemerlangan yang menjadi teras kepada budaya kerja warga UiTM.

Saksikan semula detik bersejarah majlis ini melalui rakaman siaran langsung di YouTube UiTM Channel.