Semenjak ditubuhkan pada tahun 1956 di bawah nama Dewan Latehan RIDA, Institut Teknologi MARA (ITM) tetap gigih berusaha menambahbaik secara berterusan prestasi pencapaian dan imejnya terutama dalam bidang pendidikan yang telah melahirkan ramai siswazah yang cemerlang. Sejajar dengan itu, kerajaan yang selama ini mengiktiraf dan menghargai sumbangan ITM dalam pembangunan negara telah bersetuju untuk menaikkan taraf menjadi sebuah Universiti.

Tarikh keramat pada 26 Ogos 1999, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan pengisytiharan Institut Teknologi MARA kepada Universiti Teknologi MARA dalam Perhimpunan Perdana Siswazah Institut Teknologi MARA bersama Perdana Menteri yang telah dihadiri lebih daripada 15,000 orang pelajar, staf dan alumni di Stadium Melawati, Shah Alam.  Pengisytiharan ini adalah satu pengiktirafan yang terlalu bernilai dan satu perjuangan yang telah lama tertangguh sejak tahun 1974 lagi.

Bermula dari tarikh tersebut, Rang Undang-undang ITM (Pindaan) telah dibacakan di Dewan Rakyat (4) pada November 1999 dan telah diluluskan pada 25 Februari 2000 serta Dewan Negara pada 08 Mei 2000. Dengan keputusan pindaan Akta 1976 tersebut (Akta 173), Institut Teknologi MARA diletakkan setaraf dengan Universiti-universiti lain dalam negara ini. Satu ciri yang menarik dari Akta baru ini adalah Yang DiPertuan Agong secara automatik dilantik menjadi Canselor Universiti sekaligus memberikan status simbolik kepada Universiti Teknologi MARA. Canselor yang pertama yang dilantik adalah Yang DiPertuan Agong ke-11 iaitu Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj. Manakala Datuk Prof. Ir. Dr. Haji Ahmad Zaidee bin Laidin telah dilantik menjadi Naib Canselor UiTM pertama yang menyambung jawatannya dari Rektor ITM pada ketika itu.

Sekitar Perhimpunan Perdana Siswazah  ITM bersama Perdana Menteri di Stadium Melawati pada 26 Ogos 1999

Sumber :

  1. Achieving A Dream…A Story of Courage
  2. Shaping A Dream : From Dewan Latehan RIDA to UITM 1956 -1999