Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus membuktikan keunggulannya sebagai kuasa besar sukan pendidikan tinggi negara menerusi penganjuran Majlis Anugerah Sukan UiTM (MAS) 2024 yang berlangsung megah di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam pada 2 Julai 2025. Malam berprestij ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi, sekaligus mengangkat martabat majlis sebagai platform tertinggi pengiktirafan kecemerlangan warga sukan UiTM.
 
Sebanyak 18 anugerah utama disampaikan bagi menghargai atlet, jurulatih, pengurus, tokoh alumni, staf serta individu yang menjulang nama UiTM sepanjang tahun 2024. Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2024, Anugerah Khas, Anugerah Emas, Anugerah Perak, Anugerah Gangsa, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah ‘Hall of Fame’ Atlet UiTM,Anugerah Tokoh Sukan Alumni, Anugerah Tokoh Sukan Berjasa, Anugerah Pengurus Cemerlang, Anugerah Jurulatih Cemerlang, Anugerah Pasukan Terbaik,Anugerah Kelab Terbaik, Anugerah Sijil Penghargaan, Anugerah Rakan Media, Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Staf.
 
Kemuncak majlis menyaksikan detik penuh bersejarah apabila dua ikon sukan UiTM dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UiTM. Atlet angkat berat kebanggaan negara, Mohamad Aniq bin Kasdan, mencipta rekod tersendiri apabila dinobatkan sebagai Olahragawan UiTM buat tahun ketiga berturut-turut. Satu pencapaian luar biasa yang mengukir namanya sebagai legenda MAS UiTM. Dalam arena yang berbeza namun sama hebat, pemanah elit, Nurul Azreena binti Mohamad Fazil, diumumkan sebagai Olahragawati UiTM 2024. Beliau tampil membuktikan keunggulan dan kaliber luar biasa, menjadi simbol ketekunan, disiplin serta daya juang atlet wanita di pentas sukan berprestasi tinggi.
 
Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Bin Sahib @ Sahibuddin turut merakamkan penghargaan penuh kepada Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim kesudian memeriahkan malam gemilang ini bersama komuniti sukan UiTM. Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh atlet, jurulatih dan warga sukan UiTM atas pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2024.Menurut beliau "UiTM komited membina legasi sukan yang berterusan, bukan sekadar mencipta juara hari ini, tetapi mencorakkan masa depan sukan negara. Kami percaya, dengan sokongan padu semua pihak, UiTM akan terus melahirkan atlet berprestasi tinggi yang bukan sahaja cemerlang di gelanggang, tetapi juga di bilik kuliah dan pentas antarabangsa."
 
“When the Lions Roar”, MAS 2024 menjadi simbol kepada keberanian, dedikasi dan semangat juang luar biasa warga atletik UiTM. UiTM bukan hanya medan akademik ia adalah tapak lahirnya juara sejati bangsa dan negara.
 
Sumber : Facebook Bahagian Komunikasi Korporat (https://www.facebook.com/share/p/1B5fnjdKLc/)